Novel 'Sidang Burung' Mengangkat Tinggi Daya Keintelektualan Pembaca.

Sekali lagi kita dapat membaca sebuah novel yang berjudul Sidang Burung buah tangan Muslim Burmat, Tokoh Sastera Brunei Darussalam. Dua buah novel beliau yang terakhir yang telah kita miliki masing-masing berjudul Makna Sebenar Sebuah Ladang dan Maka yang sarat tersirat dengan erti dan perlambangan.

Sebelum ini dalam sebuah novelnya penulis Muslim Burmat, menyajikan sebuah ceritera tentang matinya seekor burung yang tercantik di pukat seorang pemikat burung, tetapi dalam novel yang terbaru ini, ia mengisahkan para burung mengadakan satu persidangan terbesar membincangkan karenah manusia yang dianggap menzalimi kaum mereka itu. Dengan yang demikian novel yang terdahulu, Terbang Tinggi dengan Sidang Burung mungkin sebuah cerita panjang yang terbahagi dua yang kemudiannya masing-masing memiliki tajuk yang agak seerti.

Kita, dalam Sidang Burung, dipertontonkan dengan susuk geroda yang gerun dan menakutkan, yang hebat gagah menjadi perlambangan kekuatan fizikal dan identiti daripada suatu zaman samarjauh yang tak bernama. Kita dipertontonkan juga imej-imej burung daripada suatu sudut jauh yang perlakuannya seperti manusia yang tahu arif melihat menilai erti dan martabat diii. Dan yang terjauh cuba menilai survival dan nasib masa depan mereka. Kita melihat lokasi pilihan mereka, sekumpulan pulau laut yang terdiri daripada kelompok-kelompok batu yang lesap, gondol, dan tak berpokok. Melihat kesemua ini didasari dengan kenyataan-kenyataan yang tepat pasti ada sesuatu yang tertentu yang hendak dikatakan penulis lewat gaya pengucapan yang agak unik ini.

Dalam kesusasteraan dunia, kita jarang menjumpai watak-wataknya bukan terdiri daripada manusia. Tetapi dalam kesusasteraan Islam, ada para penyair menjadikan burung menyerupai watak manusia. Para sufi biasanya menjadikan watak-watak burung sebagai perlambangan kepada watak-watak yang bukan manusia atau makhluk biasa.

Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai penerbit memang bersedia menerbitkan novel yang membawa bentuk pengucapan yang segar dan terbaru, padat, sarat dengan pemikiran-pemikiran tingkat universal demi mengangkat tinggi daya keintelektualan pembaca. Dengan karya-karya seperti ini kita dapat mempertinggi tingkat mutu kesusasteraan sebagai bahan penggugah daya pemikiran manusia. Saya berpendapat novel Sidang Burung adalah terjumlah dalam kumpulan karya yang dimaksudkan.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Majalah Mekar dan Perkembangan Sastera Kanak-Kanak di Negara Brunei Darussalam

Peraduan Menulis Karangan, Cerpen dan Rencana 2011 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei.

Ucapan Terima Kasih di atas pemberian Hadiah Penghargaan Sasterawan Muda MASTERA bertempat di Hotel Santika, Salipi, Jakarta, Indonesia pada 27hb September 2010.


Terima kasih jika awda sudah belanja Puasha 'secawan kopi' untuk dia terus menulis di sini