Bengkel tingkatkan penulisan berita dan rencana.

Seramai 30 orang pegawai perhubungan awam kementerian dan jabatan kerajaan menghadiri Bengkel Penulisan Berita dan Rencana di Bangunan Jabatan Penerangan selama 3 hari bermula hari ini, 26 hingga 28 Jun.

Tujuan bengkel itu adalah untuk mempertingkatkan kemahiran pegawai-pegawai perhubungan awam dan pengamal perhubungan awam di sektor kerajaan dalam mempakejkan maklumat dengan mengutamakan bidang penulisan berita dan rencana yang terkini dan dinamik sebagai salah satu alat kerja-kerja perhubungan awam.

Menurut Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Haji Yussof Haji Ladi ketika menyampaikan ucapan perasmiannya, penulisan rencana dan berita merupakan satu cabang disiplin ilmu yang mencabar yang menuntut ciri-ciri ketajaman daya lihat, daya merasa, daya berfikir serta kesungguhan dan ketangkasan menggunakan mekanisme yang ada.

Beliau juga menyatakan bahawa keberkesanan maklumat yang disampaikan kepada khalayak atau kumpulan sasaran banyak bergantung pada dua faktor iaitu kemantapan perisian dan strategi daya membentuk pola fikir yang kreatif yang disokong oleh kekuatan penampilan gambar dan penulisan kapsyen yang menarik.

Akhir sekali, beliau menyatakan bahawa ramuan atau aspek-aspek itu perlu digabungkan dengan baik bagi membolehkan maklumat yang disampaikan melalui penulisan rencana dan berita menarik tanpa menimbulkan kekeliruan kepada pembaca.

Bengkel berkenaan dikendalikan oleh Ketua Bahagian Akhbar, Awang Haji Jaafar Haji Ibrahim di mana beliau memberikan pendedahan kepada peserta mengenai pengenalan penulisan berita dan rencana, pemilihan tajuk berita dan peranan serta pemilihan gambar-gambar dan kapsyen. Selain itu peserta yang hadir dikehendaki menghasilkan berita dan rencana mengenai kementerian atau jabatan masing-masing. Media Permata 26 Jun 2008

Ulasan