Mussidi – TAI dan Cerita-Cerita Lain.

Sangat jarang lagi aku bertemu dengan penulis yang menghasilkan kumpulan cerpen yang berjudul Tai dan Cerita-Cerita Lain ini, baik ketika perkumpulan atau majlis sastera yang diadakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, atau secara kebetulan terserempak di pusat-pusat membeli belah. Begitu juga dengan karyanya, aku sudah tidak berpeluang lagi membaca karya-karya terbaharu darinya terbit di ruangan cerpen Majalah Bahana. Ya, mungkin benar dengan apa yang ia perkatakan yang menurutnya untuk sementara ini ia sedang berehat dari menulis atau berkarya.

Apapun aku masih berkesempatan melihat cerpen-cerpennya melalui online, iaitu melalui halamannya http://mussidi.googlepages.com/ yang mengandungi cerpen-cerpennya yang terdahulu - di samping menyimpan dua buah kumpulan cerpen dari penulis ini, iaitu Kecoh yang kubeli dari kedai buku DBP dan sebuah lagi kumpulan cerpen TAI dan Cerita-Cerita Lain yang diberi oleh penulis ini sendiri. Cerpen-cerpennya yang terkandung dalam kumpulan-kumpulan cerpen tersebut sangat sarat dengan perwatakan yang membingungkan di samping kaya dengan simbol yang mampu mengugah keupayaan pembacanya untuk berfikir secara kreatif.

Kumpulan cerpen TAI dan Cerita-Cerita Lain adalah terbitan Penerbitan HM dalam bentuk edisi terhad pada tahun 1995. Antara lain cerpen-cerpen yang terkandung dalam kumpulan yang mengandungi 90 muka surat ini ialah Bukit, Payah, Cerpen Cinta, Hajat, Bujang Sigandam, Kawanmu, Bibir, Paksi, Tai dan Ada Yang Tidak Betul Dengan Jiran Saya.

Ulasan