Penulis Muda Perlu Mencapai Matlamat Sastera Kita. (Bahagian II)

Sejak mula lagi kebanyakan penulis kita tentulah sudah menyedari bahawa sastera adalah merupakan wadah seni yang memiliki suatu proses pengucapan yang unik. Jika seseorang penulis berbakat itu peka terhadap alam sekeliling, sosial-budaya dan lain-lain bentuk tekanan yang menyebabkan ia perlu bersuara maka sastera adalah saluran yang terbaik untuknya menulis dan melahirkan karya. Hakikat ini memang telah menjadi intipati biasa sehingga mempengaruhi seseorang penulis tersebut untuk menghasilkan karya yang kadang-kadangnya di luar dari kebiasaan kita, sekalipun ia berupa persoalan-persoalan kecil.

Sebagai penulis berbakat yang mempunyai keyakinan dan jati diri kita tidak perlu risau dan takut untuk mengetengahkan karya kita ke tengah khalayak. Walaupun karya sastera itu tidak menggambarkan kebenaran semasa dan setempat, serta lebih bersifat rekaan dan ciptaan sahaja, tetapi kita tetap sedar dan yakin bahawa karya sastera itu sebenarnya bukanlah suatu pembohongan. Karya sastera sebaliknya berupaya menganjurkan kebenaran, akan tetapi kebenaran yang mutlak itu pula bukan mesti tepat dengan fakta dan objektifnya. Kerana orang membaca karya sastera adalah untuk mencari dan memahami isi kandungan karya sastera tersebut, bukan menemukan maksud atau erti yang terdapat di sebaliknya.

Sebagai penulis kita perlu peka terhadap setiap permasalahan yang menekan segala bentuk kehidupan ini sewajarnya, dan merakamkannya dengan sentuhan indera rasa penulis sendiri bagi menghasilkan sebuah karya sastera yang terbaik. Oleh sebab kreativiti kita memang selalu ada pasang-surutnya maka kita perlu hadir ke tengah-tengah khalayak masyarakat sebagai seorang individu yang peka dalam berbagai perkara. Dengan yang demikian proses kreativiti tetap akan berlangsung dan kita juga tidak berasa terpaksa untuk menulis atau memenuhi matlamat yang hendak kita capai itu.

Kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi ke dalam masyarakat kita di negara ini juga tidak mengecualikan kalangan penulis dari menikmati berbagai-bagai kemudahan hidup yang lebih canggih pada hari ini. Dengan hujung jari sahaja kita boleh mendapatkan maklumat yang kita cari dengan mudah, dengan hujung jari sahaja kita boleh berkomunikasi di antara satu sama lain walau di mana pun kita berada dengan mudah, dengan hujung jari sahaja kita boleh menyelesaikan kerja-kerja yang sebelum ini memerlukan tenaga dan masa yang lama dengan begitu mudah. Tetapi sebaliknya kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi ini juga masih belum banyak yang dapat dimanfaatkan dalam sastera kita, dan nampaknya matlamat kita melalui kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi ini pun masih begitu jauh untuk dinikmati oleh kebanyakan penulis.

Mungkin ada di kalangan penulis berbakat kita yang berkemampuan dan mempunyai matlamat untuk maju ke hadapan telah pun memiliki laman web, dia bolehlah menerbitkan karya-karyanya di Internet dengan mudah dan cepat. Sebaliknya bagi penulis yang cuma mengharapkan karyanya terbit di akhbar, majalah, jurnal dan buku sahaja memang tidak mempunyai peluang untuk menikmati kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi pada masa sekarang ini. Tanyalah pada ketua editor majalah atau ketua bahagian sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka jika kita sudah memiliki laman web untuk menerbitkan karya-karya kita, atau berkunjung ke www.dbp.gov.bn jika kita berpeluang menerima headlines atau senarai terbaharu mengenai majalah, jurnal dan buku-buku sastera yang diterbitkan serta dipasarkan melalui online.

Dalam keadaan sekarang ini jika kita sekadar menjadi penulis dan menerbitkan puisi dan cerpen dalam beberapa buah di media masa secara konvensional, lalu berhenti menulis dalam beberapa waktu terdekat ini, sudah tentulah kita tidak dapat mencapai matlamat yang ingin kita nikmati dua puluh lima tahun yang akan datang. Walaupun kita memiliki institusi sastera seperti Dewan Bahasa dan Pustaka yang berusaha mengurus, mentadbir dan memartabatkan hasil sastera kita ke tengah khalayak masyarakat serantau dan antarabangsa, jika penulis berbakat kita masih berada di tahap yang sama seperti penulis kita yang muncul dua puluh lima tahun yang lepas kita tetap tidak akan mencapai taraf ‘maju dan canggih’ seperti yang telah dinikmati oleh golongan penulis yang tinggal di negara-negara lain di rantau ini. Dan penulis berbakat yang ada pada hari ini juga tidak akan muncul sebagai penulis mapan dan seterusnya bergelar sasterawan berjasa pada dua puluh lima tahun yang akan datang.

Begitu juga halnya jika penulis berbakat kita hari ini hanya berminat menyertai kegiatan sastera yang diadakan sekadar untuk meramaikan bilangan ahli sahaja. Jika ada bengkel genre sastera mereka ini pun menulislah, jika ada sayembara atau peraduan menulis mereka ini pun menulislah, jika ada hadiah khas sastera mereka ini pun menulislah. Akan tetapi mereka tidak akan mahu berusaha menulis jika tidak ada bengkel, jika tidak ada sayembara atau peraduan menulis, jika tidak ada hadiah khas sastera dan lain-lain kegiatan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Walaupun ada yang bersetuju dan tidak bersetuju bahawa kegiatan-kegiatan seperti ini dapat menarik minat bakat-bakat penulis kita untuk terus meningkatkan kreativiti mereka dalam berkarya, menyumbang dengan lebih aktif sehingga mampu mencorakkan perkembangan kesusasteraan kita di negara ini, kita tetap percaya ini hanyalah sebagai rangsangan sahaja.

Bagi mencapai matlamat ke arah memperkembangmaju kesusasteraan kita di negara ini kita patut berjalan seiringan di atas landasan yang dibina oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab memelihara kewujudan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini, di samping kita mempunyai matlamat tersendiri dan menghargai bakat, minat dan kepercayaan yang ada dalam diri masing-masing sebagai seorang penulis. Kita juga patut mencontohi penulis, penyair dan sasterawan yang ada sekarang sebagai modal dalam berkarya, walaupun tidak mungkin menjadi seperti Badaruddin H.O, Muslim Burmat, Mussidi atau Chong Ah Fok memadailah jika penulis-penulis berbakat kita hari ini sentiasa berusaha memajukan dirinya dan bersama-sama berjuang mencapai matlamat yang kita inginkan. Kita juga perlu percaya untuk berada di tahap yang sewajarnya dan mengasaskan diri kita dengan azam yang lebih mantap dan baru. Akan tetapi janganlah hendaknya yang kita kejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran.

Ulasan