Ruangan Sastera Dalam Akhbar Tempatan Perlu Diisi Oleh Penulis Kita.

Tidak dinafikan akhbar adalah merupakan media yang sangat berguna sekali di dalam membantu pertumbuhan dan perkembangan kesusasteraan kita di Brunei. Melalui ruangan sastera yang disediakan oleh media tersebut penulis-penulis muda kita akan dapat memperkembangkan daya kreatif mereka dengan baik, dan secara tidak langsung memperlihatkan kesungguhan kita dalam membentuk satu tapak yang kukuh di dalam usaha membimbing mereka ke arah matlamat bersastera yang lebih meyakinkan.

Setakat ini hanya akhbar harian Media Permata dan akhbar rasmi Pelita Brunei sahaja yang ada menyediakan ruangan bagi penulis sastera kita menyalurkan bahan karya mereka dalam penerbitan. Walaupun ruangan tersebut tidak begitu menyerlah dan mampu menarik ramai di kalangan penulis kita untuk memberi sumbangan, akan tetapi sekurang-kurangnya ia adalah sangat bermakna dalam memberi nafas baru kepada kerancakan aktiviti bersastera di negara ini.

Timbul beberapa kebimbangan jika kedua akhbar ini tidak lagi menyediakan ruangan sastera seperti yang kita harapkan, antaranya ialah penulis – penulis muda kita akan kehilangan upaya untuk menulis, serta tidak akan memperoleh petunjuk untuk mengetengahkan bakat mereka dalam bidang penulisan. Padahal kita juga menyedari bahawa ruangan tersebut berperanan penting dalam menyuburkan daya kreativiti dan intelek yang dapat merangsang kesinambungan budaya bersastera dalam masyarakat.

Di negara ini sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu terdapat banyak usaha penerbitan majalah dan akhbar telah diadakan, akan tetapi hanya beberapa penerbitan sahaja yang masih kekal dan mengadakan ruangan sastera seperti puisi, cerpen dan rencana – setakat mana yang termampu mereka lakukan. Maka dengan ini secara optimis kita tidaklah begitu yakin bahawa ruangan ini akan kekal selama-lamanya, melainkan dengan usaha penulis-penulis dan penggiat sastera itu sendiri yang menentukan perkembangannya, janganlah seperti kata pepatah ‘hidup segan mati tak mahu’.

Apabila kita berasa segan untuk mengadakan sesuatu apa pun tidak akan kita perolehi dengan mudah, dan sastera kita di negara ini tidak akan hidup seperti mana yang dirancangkan. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini kita tidak pula melihat banyak perubahan yang telah berlaku terhadap ruangan sastera di kedua akhbar yang menerbitkan karya penulis tempatan kita ini, terutama sekali dalam membabitkan keramaian penulis, jumlah karya yang bermutu tinggi, kritikan-kritikan yang bermakna dan laporan kegiatan sastera yang berlaku di negara ini secara khusus.

Jika hanya sekadar menerbitkan puisi dan cerpen kita sebenarnya masih lagi tidak mempunyai kelegaan untuk bernafas dan menyatakan bahawa setakat ini kita sudah berpuas hati dengannya. Mungkin juga ada sebahagian dari kita boleh berbangga dengan suasana bersastera yang kita ada sekarang, akan tetapi jika hanya dengan menerbitkan puisi dan cerpen yang mengaitkan tema cinta atau kasih-sayang sahaja kita sebenarnya tidak akan mampu pergi ke mana-mana.

Sebaliknya dengan membawakan tema-tema ‘luar biasa’ seperti persoalan kemiskinan, pengangguran, persoalan penyalahgunaan dadah, persoalan kebebasan sosial, persoalan keagamaan dan lain-lain ke dalam masyarakat kita pada hari ini adalah lebih bermakna, sementara kita masih belum mampu menyuarakan satu permasalahan yang jauh lebih besar dalam kesusasteraan sejagat.

Ruangan sastera di akhbar bukanlah satu peluang yang sengaja diadakan semata-mata bagi penulis kita melemparkan bahan tulisan yang tidak mempunyai nilai sama sekali. ‘Sastera’ membawa maksud yang amat besar dan apa pun juga bahan karya yang terbit sebagai ‘sastera’ ia sudah tentulah mempunyai maksud dan matlamat tertentu, misalannya ‘Seni Untuk Seni’, ‘Seni Untuk Masyarakat’ dan sebagainya. ‘Sastera’ mempunyai pandangan, falsafah dan ideologi yang tertentu sehingga membolehkan kita mempunyai penilaian yang baik dan yang buruk di dalam memberikan makna dalam kehidupan ini.

Adalah difahami bahawa dengan adanya ruangan sastera (dan juga bahasa) di kedua akhbar ini penulis-penulis kita diharap akan lahir sebagai individu yang mempunyai rasa tanggungjawab di dalam menanamkan nilai-nilai moral dan status masyarakat melalui bahan karya mereka. Walau bagaimana pun ini bukanlah satu kenyataan yang kekal dan dapat kita terima sebagai sesuatu yang ideal, memandangkan kita masih memerlukan ramai bakat penulis baru untuk sama-sama berganding bahu dengan penulis lama dalam memberikan sumbangan serta menghidupkan lagi ruangan sastera di akhbar tempatan ini.

Ulasan

Bill berkata…
seni adalah seni, from is our soul
Holiday in Bali bisa menumbuhkan inspirasi seni, termasuk sastera.
http://bali-travel-tourism.blogspot.com/

Catatan popular daripada blog ini

Majalah Mekar dan Perkembangan Sastera Kanak-Kanak di Negara Brunei Darussalam

Peraduan Menulis Karangan, Cerpen dan Rencana 2011 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei.

Ucapan Terima Kasih di atas pemberian Hadiah Penghargaan Sasterawan Muda MASTERA bertempat di Hotel Santika, Salipi, Jakarta, Indonesia pada 27hb September 2010.


Terima kasih jika awda sudah belanja Puasha 'secawan kopi' untuk dia terus menulis di sini