Selamat Hari Raya Aidilfitri…

Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua penulis yang beragama Islam di Negara Brunei Darussalam, serta pembaca laman weblog puasha.blogspot.com. Saya berharap di hari mulia ini kita akan dapat bersama-sama meraikannya dengan rasa penuh bersyukur dan menikmati suasana yang meriah ini dengan semangat perpaduan dan saling hormat menghormati, terutama bagi kalangan penulis kita yang mungkin sahaja mempunyai masa yang begitu terhad untuk saling kunjung mengunjungi di antara satu sama lain.

Di majlis Anugerah Sastera Mastera kali Ketiga yang diadakan pada 21hb. September yang lalu, saya berasa sangat berbesar hati kerana telah berpeluang menghadiri majlis yang berprestij tersebut. Di majlis ini, saya bukan sahaja telah diberikan kesempatan untuk saling berkenal-kenalan dengan penulis yang lain, malahan telah memberikan satu dorongan kepada saya untuk terus berkarya dengan suatu pemikiran yang lebih matang, serta dengan suatu sikap yang lebih terbuka.

Ketika duduk di samping penulis-penulis kita yang begitu ramai dan jauh lebih mapan dari saya sendiri, saya lalu berasa memiliki suatu semangat yang mendorong saya untuk berbuat sesuatu terhadap karya-karya saya yang telah terbit beberapa tahun yang lalu. Di samping teringat mahu menghasilkan beberapa buah lagi karya-karya terbaharu yang kini begitu susah untuk disiapkan kerana memandangkan masa yang terlalu terbatas dengan bidang kerjaya yang saya pikul sekarang ini.

Walau bagaimanapun, dalam beberapa bulan kebelakangan ini saya telah berhasil mengumpul sejumlah karya saya yang pernah terbit di majalah Mekar, Juara, Bahana, Pelita Brunei dan Media Permata bagi tujuan untuk diterbitkannya semula dalam bentuk antologi. Sebuah kumpulan cerpen yang mengandungi 20 buah cerpen telah saya hantar dan cadangkan penerbitannya oleh Bahagian Penerbitan DBP Brunei. Kumpulan antologi cerpen tersebut diberi judul ‘Cetera Merdeka’.

Dan dalam sedikit masa lagi, saya akan menghantar dua buah antologi lagi ke Bahagian Penerbitan DBP Brunei, iaitu antologi puisi yang diberi judul ‘Bulan Terang Di Bandar Seri Begawan’ dan antologi puisi/cerpen remaja/kanak-kanak yang diberi judul ‘Surat Kepada Adik’. Saya berharap ketiga-tiga kumpulan antologi tersebut akan dapat dipertimbangkan penerbitannya, dan secara tidak langsung akan menyelamatkan saya daripada hanya berasa bangga dengan memiliki sebuah novel (Sebuah Pondok Di Bukit Kota) sahaja yang pernah terbit sehingga kini. Dan akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta Maaf Zahir dan Batin.

Ulasan