Peraduan menulis puisi Islam dibuka.

Berita baik buat para penulis puisi Islam tempatan, terutama generasi muda kerana Peraduan Menulis Puisi Islam sempena sambutan memperingati Jubli Emas Masjid Omar 'Ali Saifuddien yang jatuh pada 26 September, dibuka penyertaannya bermula hari ini.

Sehubungan dengan itu penguasa masjid, Haris Haji Suboh mengalu-alukan penyertaan orang ramai yang berumur 18 tahun ke atas bagi menghantar karya mereka dalam sama-sama memeriahkan lagi detik bersejarah yang telah dicapai oleh masjid berkenaan.

Namun beliau mengingatkan kepada para penulis supaya jangan lari daripada tema yang telah ditetapkan Masjid Omar 'Ali Saifuddien sama ada mengenai peranan, sejarah atau apa saja perkara yang berkaitan dengan masjid berkenaan.

Beliau berkata peserta boleh menghantar sehingga dua buah karya mereka yang tidak dihadkan panjangnya tetapi hendaklah bersesuaian dengan ciri-ciri sebuah puisi yang sempurna.

Bagaimanapun karya yang dihantar hendaklah hasil ciptaan sendiri iaitu karya yang belum pernah diterbitkan, disiarkan atau dicetak dalam mana-mana media, laman web dan majalah serta bukan karya terjemahan.

Juara akan menerima wang tunai $800, naib juara pula akan membawa pulang $600, manakala pemenang ketiga akan mendapat $400. lima hadiah sagu hati berbentuk wang tunai sebanyak $200 seorang turut disediakan.

Mereka yang berminat bolehlah mendapatkan borang peraduan di Masjid Omar 'Ali Saifuddien yang diletakkan berhampiran pintu masuk utama masjid dan juga daripada Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong.

Setiap karya mestilah ditulis dalam bahasa Melayu dan hendaklah menggunakan tulisan rumi dan sampai kepada Urusetia Peraduan pada atau sebelum pukul 3.30 petang pada Selasa, 11 November.

Ulasan