Cerpen dan Bayaran Saguhati

Saya sangat berminat untuk menghantar cerpen-cerpen saya ke Media Permata kerana saya minat mengarang cerita  seperti cerpen dan novel tetapi saya tidak tahu jika cerpen-cerpen saya ini bersesuaian ataupun tidak.

Kalau sekiranya cerpen saya ini mempunyai unsur cinta, adakah cerpen saya akan diterima? Dan bolehkah jika saya membahagikan cerita saya yang panjang kepada cerita bersambung? Adakah syarat-syarat lain yang harus dipatuhi oleh penulis yang ingin mengarang cerpen untuk Media Permata? Dan berapakah wang saguhati yang akan saya perolehi jika cerpen saya diterbitkan di Media Permata?

Erney Meria
----------------------------------------------

Sesuai atau tidak, asal namanya cerita pendek atau cerpen itu sudah cukup layak untuk terbit di mana-mana media penerbitan yang menyediakan ruangan untuk cerpen. Setiap unsur atau tema cerpen tidak semestinya ditentukan oleh penerbit, terpulang kepada setiap penulis untuk mencurahkan isi hati nurani mereka. Bukankah karya kreatif itu mempunyai ruang yang amat luas, malah minda kita sendiri tidak akan pernah ada batas untuk memikirkan sesuatu, menciptakan dan melahirkan sesuatu idea yang baru. Cinta juga mempunyai tema yang cukup menarik untuk diterjemahkan dalam karya kitani. Cinta mempunyai makna yang cukup luas. Cinta kepada kekasih, cinta kepada ibubapa, cinta kepada bangsa, cinta kepada tanahair, cinta kepada bangsa, cinta kepada agama, cinta kepada Tuhan dan sebagainya. Ini bererti makna cinta itu sudah cukup luas dan universal.
 
Tidak ada syarat atau peraturan lain untuk biskita menulis dan menghantar cerpen biskita ke Media Permata. Tapi panjang cerpen biskita itu sebaiknya lebih kurang satu halaman muka surat akhbar tersebut atau tidak lebih 4-5 muka surat A4 jika ditaip dalam jarak 1 langkau. Selain dari itu biskita sebagai penulis juga mestilah mengelak dari menulis tema yang berunsur-unsur negatif atau propaganda yang menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan politik di negara ini. Jika ini dipatuhi, karya biskita tidak akan menjadi masalah untuk terbit dalam mana-mana media penerbitan.
 
Untuk sebuah cerpen di Media Permata biasanya penulis kita akan diberi saguhati antara BND$85.00 hingga BND$100.00. Di akhbar rasmi kerajaan Pelita Brunei sehingga kini masih tetap bertahan BND$100.00 untuk sebuah cerpen. Akan tetapi kalau biskita berminat untuk menghantar karya-karya biskita ke majalah Bahana, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei (DBP), bayarannya lebih tinggi dari kedua-dua akhbar tersebut. Biasanya penerbit akan bayar kitani berdasarkan kualiti karya. Soal kualiti dan bayaran memang sudah lama menjadi isu. Dari dulu lagi kaum penulis di negara ini memang mengharapkan bayaran yang lebih besar dari ini dan menghasilkan karya-karya terbaik mereka. Tapi jalan ini masih tak ada penghujungnya. Jadi, jika biskita memang ada semangat untuk menulis, fikir-fikirkanlah apa yang patut untuk masa depan dan kreativiti biskita. 

Ulasan

Kelana Sahara berkata…
Saya rasa tidak ada uang saguhhati pun diberikan di media permata, kerana saya pernah mengirim beberapa karya saya..Jika ada kenapa saya tidak di hubungi atau di maklumi oleh pehak media permata
Tanpa Nama berkata…
Assalamualaikum

Bagaimana caranya untuk menghantar cerpen untuk Media Permata dan Pelita Brunei?