Ucapan Terima Kasih di atas pemberian Hadiah Penghargaan Sasterawan Muda MASTERA bertempat di Hotel Santika, Salipi, Jakarta, Indonesia pada 27hb September 2010.


Ini adalah kali pertama saya berjalan jauh dari bumi Negara Brunei Darussalam sesudah mencapai usia empat puluh tahun, dan kurang lebih dua puluh lima tahun melibatkan diri sebagai seorang penulis.

Dalam tempoh tersebut saya tidak terfikir untuk berjauhan dari keluarga, kampung halaman dan Negara Brunei Darussalam yang saya cintai.

Timbul rasa rendah diri di hati saya bahawa inilah takdir yang tidak dapat kita tentukan. Tanpa disangka-sangka, saya telah menjadi ‘tetamu’ di bumi Indonesia dan seterusnya menerima Hadiah Penghargaan Sasterawan Muda MASTERA yang diberikan menerusi aktiviti dan ihsan MAJLIS SASTERA ASIA TENGGARA (MASTERA) pada hari tersebut.

Berasal dari sebuah keluarga yang tidak terlibat secara langsung dalam bidang penulisan kreatif, atau bidang akademik yang lainnya, saya mempunyai prinsip dan disiplin yang begitu banyak mempengaruhi kehidupan saya.

Sebagai seorang penulis, prinsip dan disiplin itu juga telah menjadikan saya seorang individu yang mengerti akan kehidupan. Semua ini tercurah dan mewarnai setiap bentuk karya yang telah saya hasilkan. Ini adalah berkat sokongan padu dari rakan-rakan penulis yang lainnya, tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan oleh guru-guru dan pensyarah saya.

Saya juga tidak lupa mengucapkan ‘Terima Kasih” yang tidak terhingga kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei yang  sudi mengemukakan nama saya sebagai calon dari Negara Brunei Darussalam.

Sehingga kini, saya masih terkejut dan berasa sangat terharu kerana dipilih menjadi penerima Hadiah Penghargaan Sasterawan Muda MASTERA bersama-sama rakan dari Indonesia dan Malaysia, yang rata-ratanya adalah terdiri dari mereka yang saya sanjung tinggi atas sumbangan masing-masing, khususnya kepada perkembangan kesusasteraan di rantau Nusantara. Jika ini menjadi sukatnya, apalah yang ada pada saya yang masih mentah dan serba kekurangan.

Kepada semua pihak yang terlibat, terutama ahli panitia di Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia – sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas penghargaan yang diberikan.

Ulasan

rohadatul aisy' berkata…
Tahniah diucapkan..semoga terus maju dalam berkarya dan kehidupan..amin..
Masbi Ar berkata…
Barangkali saya belum terlambat untuk berkongsi kegembiraan dengan kejayaan sdr menerima Hadiah Penghargaan Sasterawan Muda MASTERA yang baru lalu. Tahniah atas kejayaan tersebut.
sahrullamzah berkata…
Rasa bahagia, rasa sedih adalah salah satu warna dalam kehidupan, ianya ibarat pelangi, dan pelangi itu tak akan indah jika bukan terdiri dari berbagai macam warna, selamat menempuh kejayaan.

Catatan popular daripada blog ini

Majalah Mekar dan Perkembangan Sastera Kanak-Kanak di Negara Brunei Darussalam

Peraduan Menulis Karangan, Cerpen dan Rencana 2011 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei.


Terima kasih jika awda sudah belanja Puasha 'secawan kopi' untuk dia terus menulis di sini