Media Permata dan Ruangan Sastera
Nampaknya sehingga kini akhbar-akhbar tempatan kita masih belum dapat memenuhi harapan kaum penulis sastera kita di negara ini.
Media Permata, khususnya edisi minggu yang dahulunya menyediakan satu ruangan khusus 'sastera' kini telah tidak lagi menggunakan perkataan 'sastera' bagi ruangan yang menyiarkan karya-karya yang berbentuk misteri, cerpen, puisi atau sajak dari para penulis kita di negara ini.
Sebaliknya ruangan itu dinamakan pula sebagai ruangan 'memori'. Entah kenapakah nama itu yang dipilih. Mungkinkah perkataan 'memori' atau 'cerita-cerita yang berunsur memori' ini lebih banyak memikat hati para pembaca dan membeli akhbar tersebut daripada menggunakan perkataan 'sastera' yang kedengarannya agak terlalu serious.
Walau bagaimanapun kita tidaklah menyalahkan penerbit atau sidang editor akhbar tersebut secara seratus peratus. Masih banyak perkara yang perlu kita lihat kenapa hal ini berlaku.
Jika dilihat dari sudut sumbangan dari para penulis kita sendiri. Berapa ramaikah penulis yang mahu menulis untuk akhbar tersebut dengan sepenuh hati.
Dalam erti kata yang lain, adakah penulis kita yang sanggup menulis secara percuma secara berpanjangan, dan berkarya hanya untuk mengisi masa lapang atau hanya untuk bersuka-suka saja, tanpa memerlukan imbalan yang sepatutnya mereka nikmati hasil dari susah payahnya dalam proses menghasilkan sesebuah karya itu.
Sudah tentulah banyak lagi perkara lain yang masih perlu kita fikirkan kenapa penulis kita tidak banyak memberi sumbangan atau menghantar karya mereka di akhbar-akhbar tempatan kita di negara ini.
Walau bagaimanapun kita perlu menyatakan 'syabas' kepada beberapa orang penulis kita yang tidak kendur-kendurnya memberi sumbangan dan menulis di akhbar tersebut, khususnya di Media Permata edisi minggu.
Terutama kepada Pengiran Haji Idris Pengiran Haji Ismail, Haji Mat Noor Matusin @ Sagap, Haji Mariat Haji Abdullah, Karma Jumantara, Puteri Izzabella, Jebat, Mohammad Arif Haji Abdul Hamid dan beberapa orang penulis lagi yang tidak dapat saya nyatakan di sini.
Ulasan
terima kasih,
M.N.Abdullah @ Karma Jumantara