Sedikit berita mengenai Drama TV Khas - 'Kembali Ke Pangkal Jalan'.

Pada mulanya saya fikir ini adalah berita mengenai kejadian sebenar. Rupa-rupanya ia adalah sebahagian dari kisah dalam babak skrip drama yang saya hasilkan yang berjudul 'Kembali Ke Pangkal Jalan' yang sekarang sedang menjalani penggambaran. Inilah sebahagian dari teknik dan gaya kewartawanan akhbar tempatan yang diguna untuk memancing perhatian pembaca dan penggemar rancangan drama TV kita di negara ini.
-----------------------------------------------------------------

Isteri 'terkejut' suami dipukul pengedar dadah.
Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan - Seorang isteri telah dikejutkan tengah malam tadi apabila melihat suaminya yang menjadi 'mangsa pukul' dipapah pulang ke rumah oleh dua orang kawan rapat suaminya.

Suri rumah bernama Lina itu sukar untuk mempercayai apa yang telah berlaku ke atas suaminya itu yang lebam di kawasan dagu dan masih kelihatan sisa darah kering melekit di bawah lubang hidung dan atas bibir suaminya itu.

Amir yang merupakan seorang bekas penagih yang kembali semula menagih telah ditemui oleh dua orang rakannya, Roslan dan Ahmad, terbaring di depan sebuah bangunan kosong tengah malam tadi, sebelum mereka menghantarnya balik ke rumahnya.

Beliau dipercayai telah dipukul oleh sekumpulan pemuda seramai empat orang yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah haram di kalangan remaja belia di negara ini, setelah gagal melunaskan hutangnya kepada mereka selepas beberapa kali membeli dadah haram daripada sindiket pembekal dadah berkenaan.

Beginilah keadaan wajah Amir, akibat 'dipukul' oleh sekumpulan pemuda pengedar dadah
Kejadian 'pukul' di depan sebuah bangunan kosong dan adegan di rumah itu merupakan antara babak dalam sebuah drama tempatan terbitan Radio Televisyen Brunei (RTB) berjudul "Kembali Ke Pangkal Jalan" yang sedang giat menjalani rakaman pada ketika ini.

Drama yang ditulis skripnya oleh Puasha itu menceritakan kisah kemelut hidup yang dihadapi oleh Zambri (watak utama) dengan kawan-kawan sebayanya (Roslan, Ahmad, Aziz dan Amir), selepas keluar dari Pusat Pemulihan Rumah Al-Islah.

Ketika Zambri, Roslan, Ahmad dan Aziz berjaya meninggalkan 'ketagihan dadah' mereka, Amir yang sudah pun beristeri dan mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun pula kembali terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sehingga menyebabkan beliau sentiasa dihantui ancaman daripada sindiket pembekal dadah itu.

Simpati dengan nasib yang menimpa rakan mereka, Amir, maka keempat-empat orang sahabat tersebut telah sepakat untuk membantu Amir kembali ke pangkal jalan, sekali gus jauh daripada aktiviti liar, penyalahgunaan dadah dan ancaman daripada kumpulan anak-anak muda pengedar dadah haram tersebut.

Watak Amir yang penuh mencabar itu dimainkan oleh seorang pelakon tempatan yang sudah lama bergiat dalam bidang lakonan drama di negara ini iaitu Nasib Haji Jais.

Untuk mengetahui kesudahan drama yang penuh debaran itu, orang ramai perlulah mengikuti perjalanan kisahnya dengan menonton drama itu melalui saluran televisyen RTB apabila ia ditayangkan nanti.

Ulasan