Peranan Penulis Sastera Kanak-Kanak Dan Remaja.

Ponteng Sekolah
Saya mula terlibat dalam bidang penulisan sastera kanak-kanak ketika berumur 15 tahun dan bermula dengan sebuah cerpen yang berjudul Ponteng Sekolah. Cerpen itu saya tulis dengan menggunakan tulisan tangan dan terbit di majalah Mekar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei pada bulan Oktober 1985. Jika awda baca cerpen itu sekarang, awda sudah tentu berasa yakin bahawa itulah hakikatnya hasil sebuah karya yang ditulis oleh seorang remaja. Sebagai seorang remaja yang baru belajar menulis dan mengenali dunia sastera, satu perkara yang ada dalam fikiran saya waktu itu ialah karya itu mesti terbit dan dibaca oleh kawan-kawan sebaya.

Bermula dari cerpen itu, saya mula menyedari minat dan bakat saya dalam bidang penulisan kreatif. Maka saya bertambah galak menulis, dan setiap karya atau hasil tulisan saya itu tidak pernah gagal untuk terbit. Saya rasa, saya adalah di antara golongan penulis remaja yang bertuah pada waktu itu.

Namun persoalannya sekarang, pada usia dewasa ini ketika saya diminta untuk menghasilkan karya sastera untuk kanak-kanak mahupun remaja, saya sudah mula berasa agak sukar untuk melakukannya lagi, kerana bagi saya menulis 500 patah perkataan bagi sesebuah cerita kanak-kanak adalah seumpama kita menulis 50,000 patah perkataan, iaitu samalah jika kita menulis sebuah novel bagi orang dewasa. Jadi bagaimanakah kita boleh berperanan sebagai penulis dan memperkembangkan sastera kanak-kanak dan remaja di negara ini jika awda juga mengalami hal yang sama seperti yang saya hadapi sekarang.

Oleh kerana karya sastera adalah alat hiburan dan pendidikan masyarakat yang penting, khususnya kepada kanak-kanak, maka saya rasa para penulis di negara ini haruslah menilai kembali peranan mereka terhadap perkembangan sastera kanak-kanak dan remaja di negara ini. Melalui karya sastera kita akan lebih mudah menarik perhatian dan minat kanak-kanak, kerana mereka memang mempunyai kecenderungan semula jadi terhadap sesuatu yang berunsur kreatif dan imaginatif jika dibandingkan dengan bahan bacaan lain yang biasa dan mendatar.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Memang ada di antara penulis kita beranggapan menulis untuk kanak-kanak itu sangat mudah, misalnya tanpa memperhitungkan nilai-nilai moral, sosio-budaya, bahasa yang digunakan, dan tahap perkembangan psikologi kanak-kanak itu sendiri, maka itulah sebabnya sesebuah karya kanak-kanak ataupun remaja itu tidak sampai mempengaruhi minat pembacanya.
Tanpa Nama berkata…
aku masih ingat..pernah membacanya dulu zaman ku sekolah rendah..sempatku tu.. =)