Proses Kreatif: antara realiti, imaginasi dan fantasi

"... imaginasi harus tetap bermula daripada realiti objektif atau kehidupan sebenar atau pengalaman nyata dan ia bukan fantasi. Jadi, antara imaginasi dengan fantasi ternyata memang wujud perbezaan. Fantasi lebih merupakan aktiviti psikologi untuk membayangkan sesuatu yang pernah terlaksana, memimpikan sesuatu yang mustahil berlaku atau kemungkinannya amat tipis dan cair untuk menebal dan mengental atau menjadi.

Justeru itu, proses kreativiti dalam dunia penulisan cereka tanpa mengira genre, kerap kali disebut proses imaginatif. Lazimnya pula, proses itu dicerna oleh seseorang pengarang dengan mengambil sumber bahannya bukan daripada fantasi, khayalan, atau lamunan. Sebaliknya, ia diangkat daripada realiti kehidupan yang menjernih dalam diri pengarang. Penjernihan itu pasti sahaja sudah melewati proses penyaringan dan pemendapan yang realiti kehidupannya jelas menyerlah pada pengalaman diri, pengalaman batin, pengalaman bahasa, dan pengalaman estetika pengarangnya."  

[Dipetik dari Othman Puteh 1999. Penulisan Cerpen: visi dan langgam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka: 5-6]

Ulasan