Kumpulan Pantun: Sindir Kasih Subalah Tabir - A.R. Romzi

Pantun adalah merupakan khazanah bangsa yang mempunyai nilai yang amat tinggi dalam masyarakat Melayu. Penciptaan pantun menuntut kepada keupayaan kreatif yang ditambah dengan kehalusan rasa yang tinggi untuk menghasilkan keindahan yang sempurna baik dari segi bentuk, struktur, bunyi, dan bahasa.

Malah, penciptaan pantun juga memerlukan penguasaan ilmu dan pengetahuan yang amat luas kerana pembayang dan maksud sesebuah pantun itu sahaja mungkin menyentuh tentang unsur dan fenomena alam, agama, sejarah, budaya, pendidikan, dan sebagainya.

Setelah membaca buku Kumpulan Pantun: Sindir Kasih Subalah Tabir ini didapati ianya sangat kaya dengan nilai-nilai keindahan bahasanya jika dikaji dan dihayati. Pantuan biasanya mempunyai dua maksud, antaranya maksud tersurat dan maksud tersirat yang penuh dengan kiasan kata-kata yang cukup memberi makna. Misalnya;

Beli tuna di bandar Limbang,
Lenyap lapar makan anggalah;
Apa guna berhati bimbang,
Bawa bersabar ingatkan Allah.

Baca Al-Quran di malam larut,
Bawa dian bersama cangkir;
Panas baran jangan diturut,
Ambil wudhu bawa berzikir.

Anak angsa mematuk lipan,
Lipan mati dimakan tuna;
Tiada memikir masa hadapan,
Sesal nanti tiada berguna.

Adalah diharapkan dengan terbitnya Kumpulan Pantun: Sindir Kasih Subalah Tabir hasil tulisan A.R. Romzi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei  (2014) ini akan dapat menjadi wahana dalam mengasah bakat-bakat baru dan mengilap corak pemikiran yang kritis bagi memahami maksud pantun kerana binaan kata-katanya yang begitu kompleks dan terhad.

Ulasan