Undangan, Undangan, Undangan

Kad Undangan
Pada bulan Mac 2014 ini sahaja, saya telah menerima sebanyak tiga kad undangan, khususnya undangan yang melibatkan saya sebagai seorang penulis kreatif. Dua di antaranya ialah undangan dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu undangan dari Pantaran Sastera DBP: "Pertandingan Baca Sajak Generasi Merdeka" di Pesta Buku Brunei 2014; dan undangan dari Majlis Penandatanganan Memorandum Perjanjian Penerbit-Penulis Kali Pertama/2014 yang juga mengambil tempat di Pesta Buku Brunei 2014; dan undangan ketiga ialah dari Radio Televisyen Brunei bagi Majlis Gema Seni 30 Tahun Kemerdekaan.

Saya sangat menghargai kesemua undangan ini, kerana ia membawa makna bahawa pihak atau orang yang mengundang kita itu masih ingat tentang diri kita. Sama ada kita mempunyai peluang untuk hadir dan bersama-sama meraikan sesuatu majlis itu atau sebaliknya, terpulanglah bagi individu yang berkenaan - tidak ada paksaan. Akan tetapi alangkah baiknya jika kita dapat hadir dan duduk bersama-sama di dalam suatu majlis seperti ini di samping kita dapat bersua muka serta mengikuti apa jua perkembangan terkini mengenai bidang yang kita ceburi bersama.

Dari ketiga-tiga undangan tersebut, saya sendiri terpaksa melepaskan dua undangan dan hanya dapat menghadiri satu undangan sahaja yang saya fikir 'perlu'. Apabila saya katakan 'perlu' ia membawa makna majlis itu tidak akan berjalan dengan sempurna jika saya sendiri tidak hadir. Jadi saya hanya dapat hadir di Majlis Penandatanganan Memorandum Perjanjian Penerbit-Penulis Kali Pertama/2014 kerana saya terlibat sama sebagai penulis di dalam menjayakan penerbitan buku-buku yang dimaksudkan itu dalam sedikit masa lagi. Ini termasuklah dua buah buku saya sendiri yang masing-masing diberi judul 'Kumpulan Drama TV: Amanat' dan 'Kumpulan Puisi: Sandiwara'.

Tradisi menghantar kad undangan atau mengundang seseorang adalah merupakan suatu perkara penting dalam masyarakat kita. Di dalam sesebuah keluarga misalnya, apabila kita mengadakan sesuatu majlis kita perlu menghantar undangan bagi meraikan atau meramai-ramaikan sesuatu majlis yang akan kita adakan. Meriah atau tidaknya sesuatu majlis itu sudah tentulah bergantung dengan keramaian orang yang hadir, atau tetamu yang menerima undangan kita itu. Inilah sebabnya mengapa saya sangat menghargai sesuatu undangan, dan akan menghadirinya sebagai seorang tetamu yang sekurang-kurangnya akan dapat meringankan beban sesuatu pihak, atau orang yang mengundang. Apatah lagi jika undangan itu mempunyai maksud, dan menaruh harapan yang tinggi dengan kehadiran kita.

Ulasan