Bulan Bahasa 2014 "Daulatkan Bahasa Melayu".

Buku Program Bulan Bahasa 2014.
Pada Hari Sabtu 7 Ramadhan 1435 bersamaan 5 Julai 2014 yang lalu saya berpeluang menghadiri satu sambutan yang dinamakan Bulan Bahasa. Majlis bagi sambutan itu dikelolakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan diselenggarakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Pejabat Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Negara Brunei Darussalam bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Seperti sambutan Bulan Bahasa pada tahun-tahun yang lalu, Bulan Bahasa 2014 pada kali ini juga masih mengekalkan tema yang sama, iaitu "Daulatkan Bahasa Melayu". Tema ini memang mempunyai cakupan maknanya yang sangat luas dan penuh semangat kemelayuan, bersifat eksklusif dan menjadi gagasan bagi mencapai hasrat kita dalam mendaulat, mengembang dan meneruskan kelangsungan bahasa Melayu, sama ada Rumi mahupun Jawi, dari aspek bahasa, sastera dan budaya di Negara Brunei Darussalam.

Saya difahamkan, ini adalah sambutan Bulan Bahasa kali ketiga telah diadakan, yang bermakna kita (sebagai penulis terutamanya) haruslah menjadi seorang individu yang mempunyai suatu fikiran yang lebih positif bagi membuka minda masyarakat dan penduduk di negara ini agar tidak memandang sepi akan kredibiliti bahasa Melayu, serta dikelasduakan - kerana kita tahu bahasa Melayu ialah jati diri bangsa Melayu, dan bahasa rasmi negara yang kita cintai ini.

Sambutan Bulan Bahasa pada tahun ini juga turut mengadakan Pertandingan Tulisan Rumi dan Jawi Tercantik, di samping Pelancaran Buku-Buku Baharu Terbitan DBP, Pelancaran Portal Gerbang Bahasa DBP, dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Paparan Slot Video "Cintai Bahasa Melayu" yang dilaksanakan oleh Tetamu Kehormat iaitu Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdulah.

Ulasan