Berkenalan dengan Majalah Sastera PUSAT

Saya sudah lama ingin berkenal-kenalan; membaca dan meneroka daftar isi majalah sastera PUSAT terbitan Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa dari Jakarta, Indonesia ini (lihat gambar), dan akhirnya majalah ini sampai juga ke alamat rumah saya pada hari ini - justeru kerana Sisipan Khusus Lembaran MASTERA pada kali ini turut mengongsikan sebuah cerita pendek hasil karangan saya sendiri yang berjudul Kebun bagi mewakili lembaran MASTERA dari Negara Brunei Darussalam.

Cerita pendek Kebun pernah memenangi Hadiah Kreatif Bahana anjuran Syarikat Minyak Brunei Shell Sendirian Berhad dan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei pada tahun 1999 dalam kategori cerpen, dan turut dimuatkan dalam buku antologi cerpen dan puisi Mitos Pencarian terbitan DBP Brunei pada tahun 2010.

Antara lain turut menyerikan Sisipan Khusus Lembaran MASTERA yang mengisi majalah sastera PUSAT edisi No. 7, Tahun 2014 tersebut, khususnya dari Negara Brunei Darussalam ialah Hidop Zin dengan puisinya Dalam Remang Perjalanan, Badaruddin H. O. dengan puisinya Ini Zat Bukan Bayangku, dan Shaiful Bakhrin dengan eseinya Analisis Cerpen 'Ampun' Karya Muslim Burmat.

Sisipan Khusus Lembaran MASTERA juga dimuatkan ke dalam majalah sastera di setiap negara anggota Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang lainnya, seperti Bahana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei di Negara Brunei Darussalam, dan Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur di Malaysia.

Ulasan