4 Buah Buku 'Hadiah Kreatif Bahana DBP-BSP' Yang Perlu Awda Baca

Hadiah Kreatif Bahana DBP-BSP diadakan pada setiap tahun dan dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei bermula pada tahun 1989 yang lalu. Hadiah diberi kepada para penulis yang telah berjaya menghasilkan karya yang terbaik dari kategori cerpen dan sajak yang terbit dalam majalah Bahana oleh Panel Hakim yang dilantik.

Berikut adalah 4 buah buku antologi cerpen dan sajak yang pernah memenangi hadiah tersebut, dan perlu awda baca;
  1. Meniti Jambatan Usia; memuatkan 22 buah cerpen dan 20 buah sajak yang pernah memenangi Hadiah Kreatif Bahana bagi tahun 1989, 1990, 1993 dan 1994 kecuali bagi tahun 1991 dan 1992 yang tidak ada pemilihan Hadiah Kreatif Bahana. Antologi ini diharapkan dapat memenuhi selera dan menggugah minda pembaca, terutama kepada para pengkaji sastera tempatan yang ingin melihat karya bermutu di negara ini.
  2. Sungai Si Arau; memuatkan 17 buah sajak dan 17 buah cerpen yang memenangi Hadiah Kreatif Bahana bagi tahun 1995, 1996, dan 1997. Antologi ini boleh dikatakan sebahagian besarnya bereksperimen dengan gaya penulisan pasca-modenisme, dan beberapa penulis telah berjaya membawa mesej yang mempunyai unsur falsafah, simbolik, sindiran sinis tentang kehidupan masyarakat, dan pergolakan dunia sejagat.
  3. Mitos Pencarian; memuatkan 19 buah cerpen dan 38 buah sajak termasuk haiku, pantun, dan syair yang memenangi Hadiah Kreatif Bahana bagi tahun 1998, 1999, 2000, dan 2001. Melalui antologi ini kepelbagaian aliran telah semakin ketara, dan dinamisme ke arah aliran muktahir semakin mendapat perhatian. Aliran hiper modenisme beransur-ansur digemari oleh kebanyakan penulis untuk mengisi ruang pasca-modenisme yang sudah melatari perkembangan sastera tanah air.
  4. Musim Beralih Fikir; memuatkan 17 buah cerpen dan 27 buah sajak termasuk pantun dan syair, dan 20 buah haiku yang memenangi Hadiah Kreatif Bahana bagi tahun 2002 hingga tahun 2005. Antologi ini menurut penerbitnya, sudah mencapai sebuah kematangan dari para penulisnya dan mereka kini berkarya secara lebih sedar dan secara tuntasnya karya yang dihasilkan itu kebanyakannya benar-benar telah menepati kehendak penilai dan khalayak pembaca.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Majalah Mekar dan Perkembangan Sastera Kanak-Kanak di Negara Brunei Darussalam

Peraduan Menulis Karangan, Cerpen dan Rencana 2011 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei.

Ucapan Terima Kasih di atas pemberian Hadiah Penghargaan Sasterawan Muda MASTERA bertempat di Hotel Santika, Salipi, Jakarta, Indonesia pada 27hb September 2010.


Terima kasih jika awda sudah belanja Puasha 'secawan kopi' untuk dia terus menulis di sini