Antologi Sajak Ahli ASTERAWANI sempena Pelayaran Emas 50 Tahun ASTERAWANI

Pada 9hb. Julai 2012 yang lalu ASTERAWANI telah mengadakan sambutan ulang tahunnya yang ke-50 tahun yang diibaratkan sebagai sebuah perahu atau bahtera yang mengharungi riak dan gelombang kehidupan ini dengan penuh semangat, khususnya di dalam mencapai cita-cita murni untuk memelihara, mengembangkan dan memertabatkan bahasa dan sastera tanah air.

Justeru itu,  Antologi Sajak Ahli ASTERAWANI sempena Pelayaran Emas 50 Tahun ASTERAWANI ini telah sampai ke tangan kita dengan menampilkan penyair-penyair tanah air ternama dan penting dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Brunei moden, iaitu yang terdiri dari penyair-penyair berpendidikan Universiti Al-Azhar, Mesir; penyair-penyair berpendidikan maktab perguruan atau golongan guru; dan  penyair-penyair bukan berpendidikan maktab perguruan atau golongan guru.

Kita percaya dengan lahirnya antologi ini akan menambah lagi koleksi penerbitan ASTERAWANI sebagai khazanah buku-buku puisi tanah air; yang nanti akan menjadi wahana rujukan dan bacaan masyarakat kita, khususnya yang meminati genre sajak. Berikut ini saya petik salah sebuah sajak yang berjudul ‘Wajah dan Roh Patriotisme’ tulisan Kumala Negara, Brunei;

[…]
Dia berprinsip dan komited dengan falsafah negaranya
dia yang pertama tampil ke hadapan dia rela berkorban
dia tidak mengharap banyak dan tidak mementingkan diri
dia hanya mengambil dan meminta yang hak
dia banyak memberi dari meminta dan menerima
[…]
dia memantuni sepenuh hati jati diri bangsanya
dia pertahan dan hidupkan maruah bangsanya dari dikhianati dan dicemari
dia bersemangat membangun tamadun, banyak berfikir dan
bekerja dari cakap-cakap saja
dia taat patuh jujur dan tabah menanai amanah
[…]

Sumber rujukan: ASTERAWANI. Antologi Sajak Ahli Asterawani: pelayaran emas 50 Tahun ASTERAWANI. ASTERAWANI: Bandar Seri Begawan. 2012.

Ulasan