Majalah Mekar dan Perkembangan Sastera Kanak-Kanak di Negara Brunei Darussalam

Sehingga sekarang, di samping menganjurkan peraduan menulis karangan, penerbitan beberapa buah buku cerita, novel, antologi cerpen, antologi puisi, dan majalah, khususnya majalah Mekar yang mengandungi sastera kanak-kanak dan remaja yang dihasilkan oleh para pelajar, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei telah memperlihatkan suatu kesungguhan dan keyakinan dalam memperkembangkan sastera kanak-kanak dan minat berkarya dari golongan ini di Negara Brunei Darussalam.

Sejak tahun 1967, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei melalui penerbitan majalah Mekar telah membuka peluang dan minat dari kalangan remaja dan para pelajar untuk mengarang cerpen dan puisi bagi mengisi ruangan yang disediakan. Situasi ini telah berlanjutan selama lima puluh tahun, dan majalah Mekar telah melahirkan begitu ramai penulis berbakat besar, antaranya yang dapat disebut ialah Awang Damit, Muslim Burmat, Salleh Abd. Latiff, Adi Marhaen, Rusman Ali, Pengiran Aji Pengiran Mohd Tahir, Morshidi Haji Marsal, Chong Ah Fok, A. Mohammad Haji Timbang, Aminah Haji Momin, Zefri Ariff, Faridah Abdul Hamid dan lain-lainnya, walaupun untuk melahirkan seseorang sasterawan itu tidak mudah.

Istilah sastera remaja dikatakan baharu muncul dalam dekad 1980an, dan pada masa itu ia dikenali sebagai sastera kanak-kanak. Di Barat, walaupun tradisi bersastera dan kebangkitan tamadun mereka lebih awal, sastera kanak-kanak lebih banyak dibicarakan jika dibanding dengan sastera remaja (Othman Puteh, 1998: 8-10). Menurut Loh Mei Pei (1991: 26-29), dalam penelitiannya terhadap novel remaja sebagai bahan bacaan sastera di peringkat menengah atas, menemukan bahawa istilah adolescent literature sudah ada disebut dalam The Oxford English Dictionary Valume I (1989: 170). Manakala Robert E. Probst (1984:114) melalui bukunya yang berjudul Adolescent Literature: Response and Analysis menulis, bahawa:

[…] as young children and as adults indicate the gulf between childhood and maturity and suggests the importance of considering that gulf in planning literature instruction. […] There is, fortunately, a growing body of literature well suited for adolescent readers. It has not always been considered respectable, and by many it still is not, but literature written for adolescent has, in the past several decades, attracted the attention of many librarians and teachers as well as the students themselves.

Melalui pernyataan yang diberikan oleh Robert E. Probst tersebut telah membuka senario baharu mengenai kehadiran sastera remaja sejak beberapa dekad yang lampau dan mendapat perhatian yang wajar, terutama di kalangan pustakawan, guru, dan para pelajar. Malah, dalam bab khusus mengenai sastera remaja dalam bukunya itu, Robert E. Probst (1984: 115) juga menegaskan bahawa:

[…] Literature for adolescent is, in other words, now a significant body of works that merits the attention of English teachers.

Sebelum itu sudah terdapat beberapa penelitian dan penerbitan buku mengenai sastera remaja dari para sarjana di Amerika. Antaranya ialah G. Robert Carlsen dengan bukunya yang berjudul Books and the Teenage Reader: A Guide for Teachers, Librarians, and Parents (1980); Kenneth L. Donelson dan Allen Pace Nilsen dengan buku mereka Literature for Today’s Young Adults (1980) yang di antara lain membincangkan tentang sejarah sastera remaja dan hasil karya kontemporari untuk remaja. Begitu juga Sheila Schwartz telah memperkatakan tentang metodologi dan analisis terhadap sejumlah besar buku remaja berdasarkan kelompok tema melalui bukunya yang berjudul Teaching Adolescent Literature: A Humanistic Approach (1979).

Di Negara Brunei Darussalam, penelitian dan penerbitan buku mengenai sastera kanak-kanak bermula apabila Nurazmi Kuntum menulis secara khusus dua buah bukunya yang berjudul Kaedah Mengajar Sastera (1997); dan Sastera Kanak-Kanak dan Kaedah Pengajaran (2008) yang membicarakan skop berkaitan dengan sastera kanak-kanak yang meliputi jenis cerita, struktur cerita, dan sinopsis cerita kanak-kanak dan remaja yang ada di negara ini. Buku ini juga menekankan bahawa kemahiran dan pengalaman dalam penelitian sastera kanak-kanak merupakan satu perkara penting dalam pengajaran sastera di kalangan para pelajar. Selain daripada itu, Nurazmi Kuntum (2008: 5) juga mengingatkan bahawa:

[…}Sastera mempunyai kedudukan tersendiri dalam semua masyarakat. Semua manusia dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa umumnya memang dekat dengan kesusasteraan. Antara tingkat kesusasteraan yang selalu dilupakan adalah kesusasteraan kanak-kanak.

Oleh yang demikian adalah jelas bahawa kesusasteraan kanak-kanak dan remaja merupakan wadah yang sangat penting dalam usaha untuk mengisi tuntutan minda, pembentukan sahsiah, kerohanian, dan pemantapan psikologi golongan remaja dan para pelajar ketika negara menikmati era teknologi maklumat dan komunikasi. Namun, kemasukan sastera remaja yang berbentuk multigenre telah banyak diketemukan beredar di pasaran dan menjadi bahan bacaan khalayak remaja pada masa ini turut menjadi kebimbangan, serta perlu diimbangi dengan kajian atau penelitian dari pelbagai aspek.

Ketika Internet diperkenalkan dan menjadi saluran utama komunikasi, atau mekanisme peraliran maklumat dan media untuk kolaborasi serta menjadi perantaraan antara individu dengan komputer tanpa mengira lokasi geografi, proses pembelajaran secara tradisional bertukar kepada satu ‘sistem pembelajaran berbantukan komputer’, malah memasuki ‘sistem pembelajaran maya’. Oleh itu bidang kesusasteraan kanak-kanak dan remaja tidak terkecuali daripada arus perdana ini. Bermula dengan tradisi lisan, berubah bentuk kepada tulisan dalam bahan bercetak, dan kini sudah memasuki alam maya dengan wajah dan kualiti imej yang terbina daripada gabungan 3D yang lebih menarik.

Ternyata kepesatan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dapat dirasakan sehinggakan dunia ini telah dianggap sebagai rata dalam kontek persaingan dan kerjasama dalam pelbagai bidang dengan seluruh agensi dan institusi di serata pelusuk dunia, seperti mana yang dinyatakan oleh Thomas L. Friedman dalam bukunya yang bertajuk The World is Flat: a Brief History of Globalized World in the 21st. Century (2005: 8) bahawa:

[…] it is now possible for more people than ever to collaborate and compete in real time with more other people on more different kind of work from more different corners of the planet and more equal footing than at any previous time in the history of the world using computer, e-mail, network, teleconferencing, and dynamic new software […] the flattening the world means is that we are now connecting all the knowledge centers on the planet together into a single global network.

Begitupun, sejak awal lagi kewujudan majalah Mekar masih merupakan satu petanda positif dalam perkembangan sastera kanak-kanak dan remaja di Negara Brunei Darussalam. Antara yang dapat disebut ialah, pertama sekali bentuk persembahan dan teknik penerbitan telah ditingkatkan serta dipelbagaikan dengan isi kandungan dan ruangan yang bersesuaian dengan konsep Melayu Islam Beraja sebagai falsafah khusus untuk menangani kelangsungan hidup kesusasteraan kanak-kanak dan remaja di negara ini. Konsep ini telah mula ditekankan sejak Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan penuh pada tahun 1984 untuk dipelajari dan dihayati oleh remaja dan para pelajar hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.

Kedua, bermula pada dekad 1980an beberapa buah karangan dan karya sastera yang berupa cerpen atau puisi kanak-kanak dan remaja yang pernah terbit di majalah Mekar telah diiktiraf dan dinilai untuk diterbitkan dalam bentuk buku antologi, maka lahirlah Untaian Mekar (1976), Antologi Cerpen Kanak-Kanak ‘Basikal Idaman’ (1988), Kumpulan Puisi Kanak-Kanak ‘Merpatiku Sayang’ (1988), Antologi Puisi Kanak-Kanak ‘Tanahairku’ (1989), Antologi Cerpen Mekar ‘Sesekali Angin Bertiup’ (1997), dan  Antologi Puisi Kanak-Kanak ‘Aku Anak Brunei’ (2012).

Beberapa buah karangan yang menang dalam beberapa Peraduan Menulis Karangan Majalah MekarJuara Pelajar (BLNG – DBP) yang diadakan sejak tahun 1984 juga diberi hadiah atau penghargaan yang sepatutnya. Ini membuktikankan kesungguhan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei untuk memperkembang dan meletakkan sastera kanak-kanak dan remaja di negara ini pada tahap yang wajar dan penting dalam kesibukan kita menghadapi kederasan arus pembangunan fizikal, ekonomi, dan teknologi maklumat.

Ketiga, majalah Mekar yang mengandungi sejumlah karangan dan karya sastera kanak-kanak dan remaja sehingga kini telah dijadikan bahan bacaan tambahan dalam mata pelajaran para pelajar di sekolah, serta digunakan sebagai bahan kajian oleh beberapa buah fakulti di institusi pengajian tinggi dalam mengisi matlamat tertentu di pelbagai jurusan akademik. Ini dapat dilihat melalui latihan-latihan ilmiah yang pernah dibuat oleh beberapa orang mahasiswa di Universiti Brunei Darussalam, antaranya oleh Hajah Salmah binti Haji Abd Hamid dengan judul kajiannya “Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu di Kalangan Guru Sekolah Menengah Bawah di Daerah Brunei Muara” (1999).

Begitu juga dengan Nor Ashiddeq bin Haji Hamdi dengan judul kajiannya “Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu: Satu Tinjauan di Sekolah Rendah Tumpuan Telisai, Tutong II” (2007); Haslina binti Haji Abdul Kahan dengan judul kajiannya “Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di Salah Sebuah Sekolah Rendah (2010); dan Mohammad Erul Nizam bin Aiadin dengan judul kajiannya “Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu di Peringkat Sekolah Menengah Tahun 7” (2011).

Secara keseluruhannya, golongan remaja dapat dilihat daripada beberapa perspektif, dan dari sisi kriteria serta nilai mana pun yang cuba diterapkan, antaranya ialah masa remaja adalah zaman peralihan daripada kanak-kanak kepada alam dewasa sebagai satu syarat yang dituntut demi kemajuan sesuatu masyarakat. Oleh itu perkembangan sastera kanak-kanak dan remaja yang dibawa oleh majalah Mekar, khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei pada ketika ini dapat dianggap sebagi selaras dengan proses pertumbuhan dan membesar kanak-kanak itu sendiri, iaitu terdapat suatu hubungan yang erat dan sebati antara sastera dengan kanak-kanak di negara ini.

Bibliografi 

Azhar Hj Wahid (Peny.), 2011. Globalisasi Sastera Siber. Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Friedman, Thomas L., 2005. The World is Flat: A Brief History of Globalized World in the 21st. Century. London: Penguin and Allen Lane.

Hadijah Rahmat, 2006. Peranan dan Perkembangan Sastera Kanak-Kanak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haslina binti Haji Abdul Kahan, 2010. “Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di Salah Sebuah Sekolah Rendah”. Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda. Bandar Seri Begawan: Universiti Brunei Darussalam. Belum terbit

Loh Mei Pei, 1991. “Novel Remaja Sebagai Bahan Bacaan Sastera dalam Sukatan Pelajaran KBSM Bahasa Malaysia Menengah Atas: Satu Analisa dari Aspek Tema, Perwatakan dan Gaya Bahasa”. Latihan Ilmiah Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Matlob, 1964. Sastera Alam Kanak-Kanak. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

Misran Rokimin, 2013. Kritikan Sastera Remaja: Teori dan Aplikasi. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohammad Erul Nizam bin Aiadin, 2011. “Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu di Peringkat Sekolah Menengah Tahun 7”. Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda. Bandar Seri Begawan: Universiti Brunei Darussalam. Belum terbit

Mohd Yasin bin Haji Tengah, 1991. “Puisi Tradisional Kanak-Kanak Brunei”. Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda. Bandar Seri Begawan: Universiti Brunei Darussalam. Belum terbit

Nor Ashiddeq bin Haji Hamdi, 2007. “Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu: Satu Tinjauan di Sekolah Rendah Tumpuan Telisai, Tutong II”. Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda. Bandar Seri Begawan: Universiti Brunei Darussalam. Belum terbit

Nurazmi Kuntum, 1997. Kaedah Mengajar Sastera. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.

Nurazmi Kuntum, Haji, 2008. Sastera Kanak-Kanak dan Kaedah Pengajaran. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei

Othman Puteh, 1989. Sastera Remaja di Tinjau Daripada Beberapa Perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Puteh, 1998. Tanggapan Terhadap Kesusasteraan Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Puteh dan Abdul Ahmad, 1984. Sekitar Sastera Kanak-Kanak dan Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Probst, Robert E., 1984. Adolescent Literature: Response and Analysis. Ohio: Charles E. Merill.

Salmah binti Haji Abd Hamid, Hajah, 1999. “Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu di Kalangan Guru Sekolah Menengah Bawah di Daerah Brunei Muara”. Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda. Bandar Seri Begawan: Universiti Brunei Darussalam. belum terbit

Simpson, J. A. dan Weiner, E. S. C., 1989. The Oxford English Dictionary Volume I. London: Oxford University Press.

Talib Samat, 1992. Menangani Penulisan Kreatif Sastera Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tassin/Tassim bin Haji Abu Bakar, Haji, 1991. “Pengajaran Kesusasteraan Melayu di Sekolah Menengah Awang Semaun: Satu Kajian”. Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda. Bandar Seri Begawan: Universiti Brunei Darussalam. Belum terbit

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Peraduan Menulis Karangan, Cerpen dan Rencana 2011 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei.

Ucapan Terima Kasih di atas pemberian Hadiah Penghargaan Sasterawan Muda MASTERA bertempat di Hotel Santika, Salipi, Jakarta, Indonesia pada 27hb September 2010.


Terima kasih jika awda sudah belanja Puasha 'secawan kopi' untuk dia terus menulis di sini