10 Disiplin Penulis dan Penulisan yang Harus Kita Tempuh

Sigmund Freud meletakkan penulis sebagai seorang yang introvert atau 'kenal diri sendiri' yang sering mengalami penyakit neurosis dan cuba mencari ubat terhadap keinginan fizikal yang tidak dapat dilaksanakan melalui proses kreatifnya walaupun gagal untuk sembuh sepenuhnya.

Naluri semula jadi dalam diri penulis tidak sesuai dengan kehidupan di luar dirinya, umpamanya nilai-nilai masyarakat. Dengan itu penulis menjelmakan segala angan-angan dan cita-citanya melalui tulisan-tulisan agar memperolehi kepuasan (Abdullah Tahir, 1989: 16).

Ini bermakna mencari hakikat kewujudan diri adalah penting kepada penulis untuk membentuk identiti diri dan karya mereka melalui pengalaman sendiri atau pengalaman orang lain. Kaum penulis adalah golongan pemikir, dan pencetus nafas kesedaran terhadap isu yang melanda di dalam masyarakatnya.

Oleh sebab itu kaum penulis adalah pemimpin masyarakat menerusi pena dan tulisan mereka sehingga membentuk sesuatu yang akan melahirkan etika diri seseorang penulis itu, sama ada mahu menjadi penulis yang berdisplin, tabah dan bertakwa atau penulis yang curang.

Walau bagaimanapun, disiplin itu sendiri bersifat universal. Di antara disiplin yang harus kita tempuh dan patut ada dalam diri seseorang penulis dan penulisan ialah;

1. Penulis harus banyak membaca dan menyedari bahawa pembacaan dan maklumat yang diperolehi daripadanya merupakan bahan untuk tulisannya pada masa akan datang.

2. Pancaindera penulis perlu peka dan berfungsi, memerhati, mendengar, menghidu, merasa, dan memikirkan percakapan, tingkah laku dan pengalaman diri dan manusia lain.

3. Penulis juga perlu melihat manusia dengan penglihatan yang lebih luas dan tajam. Dia harus melihat yang disukai atau dibenci untuk melukiskan watak yang dilihatnya dalam berkarya.

4. Membuat catatan merupakan perkara penting yang perlu menjadi amalan seseorang penulis. Hal ini samalah seperti kehidupan wartawan yang bersedia mencatat berita yang dilihatnya.

5. Pembelajaran merupakan langkah pertama dalam mengejar sesuatu. Untuk menjadi seorang karyawan, penulis perlu belajar bagaimana mahu menjadi karyawan, seperti juga tukang kayu yang terpaksa belajar sebelum menjadi ahli.

6. Pembentukan gaya penulisan sendiri akan menjadikan seseorang penulis dapat dikenali dan difahami. Peniruan gaya penulisan akan menjadikan diri seseorang penulis dibayangi oleh idola yang menjadi model penulisannya dan dia akan terkongkong.

7. Seseorang penulis perlu melengkapkan diri dengan kemahiran mengkritik, menganalisis, membetulkan, mengedit, dan menambah maklumat-maklumat cerita dan struktur cerita sebelum menghantar manuskrip kepada penerbit.

8. Kemahiran dan pengetahuan ilmu teknologi (sesuai dengan kemajuan internet dan perlaksanaan MSC - Multimedia Super Coridor) yang serba maju dan canggih perlu dikuasai supaya masa penulisan menjadi lebih mudah dan tenaga kerja dapat dikurangkan.

9. Jadual penulisan perlu dilihat bagi pembentukan disiplin diri. Jadual itu perlu disusun sendiri mengikut kesenangan, kelapangan dan kesesuaian masa.

10. Kebebasan menjadikan penulis boleh menulis apa sahaja yang diinginkan tanpa menganggu orang lain, dan perlu ada garis panduan dan batasan.

Dipetik dan disesuaikan dari Nor Raudah Hj. Siren, 2006. Falsafah Diri Remaja dalam Novel Remaja Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hal. 17-24

Ulasan