Sumbangan Bahana terhadap Kesusasteraan di Brunei


Saya mempunyai beberapa pertanyaan mengenai majalah Bahana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Negara Brunei Darussalam. Saya berharap pertanyaan saya akan mendapat respon yang baik. Di sini saya ingin bertanya pendapat saudara mengenai sumbangan majalah Bahana terhadap perkembangan kesusasteraan di Brunei. Dari yang saya ketahui, majalah Bahana memaparkan karya-karya yang bukan hanya dari pengarang tempatan, bahkan melibatkan pengarang dari luar negara, seperti Malaysia dan Indonesia. Maka adakah sepanjang penerbitan majalah Bahana dari tahun 1966 hingga ke tahun ini telah benar-benar membantu memperkembangkan kesusasteraan di Brunei, sama seperti berkembangnya kesusasteraan di Malaysia dan Indonesia? Saya berharap saudara akan sudi memberi kerjasama dan menjawab pertanyaan saya ini - Eslie

---------------------------------------------

Memang benar Bahana adalah majalah khusus bagi penggiat dan pencinta sastera tempatan dan penulis mapan luar negeri. Sebagai seorang penulis yang terlibat sebagai penyumbang bagi kebanyakan karya yang saya hasilkan untuk majalah ini sejak tahun 1988, saya rasa Bahana memang telah banyak membantu memperkembangkan kesusasteraan di Brunei, sebanding dengan perkembangan yang ada di Malaysia dan Indonesia.

Jika dilihat dari segi keramaian penulis, kebanyakan penulis sastera yang lahir dan yang muncul sebagai penulis mapan seperti yang awda kenali sekarang bermula dengan menulis melalui majalah tersebut. Melalui karya-karya mereka itu Bahana bukan sahaja telah dapat bergerak ke hadapan, malah memberi sumbangan yang begitu besar, terutama dalam memberi bimbingan dalam bidang pendidikan kesusasteraan di negara ini khususnya kepada para pelajar menangah atas, maktab dan universiti.

Dengan yang demikian Bahana bukan sahaja menjadi wadah kepada para penulis dan pencinta sastera itu sendiri, malah ia juga adalah sumber bagi para pengkaji dan graduan yang akan menjadi pemangkin perkembangan kesusasteraan kita, khususnya di rantau Nusantara ini di masa depan. Dan secara keseluruhannya, sejak Bahana diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei pada bulan Jun 1966 sehingga pada masa sekarang ini, kesusasteraan di Brunei memang dilihat telah jauh berkembang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan yang dicapai oleh bangsa Brunei itu sendiri.

Ulasan