Sebagai sebuah akhbar rasmi kerajaan, Pelita Brunei adalah media yang sangat berpengaruh di hati masyarakat kita sejak ia terbit beberapa dekad yang lalu. Sehingga sekarang, kita masih sahaja beruntung kerana ruangan cerpen masih dimuatkan ke dalam akhbar itu misalnya, dan sedikit sebanyak telah memberi ruang kepada para penulis tanah air sehingga kita dapat mengenal beberapa orang penulis seperti Maya Brunei atau Haji Jamaluddin Aspar, Mardiah Haji Abdul Gapar, Omeyad, Nurul Husna atau Nurul Husna binti Mohd. Ali, Dhia Faaezah, Eddy, Yatim Budiman, M. A. Rahman, Meesannisaa dan lain-lainnya. Namun kita masih berasa terkilan kerana ruangan itu kini kelihatannya masih sahaja 'hidup segan mati tak mahu' dan tanpa arah tuju yang jelas dalam membantu mengembangmajukan kesusasteraan Melayu kita di negara ini. Beberapa tahun yang lalu (bahkan, sejak beberapa dekad yang lalu) ruangan cerpen (puisi, artikel, rencana atau esei sastera) dalam Pelita Brunei dilihat sebagai sesuatu yan