Penulis Muda Perlu Mencapai Matlamat Sastera Kita. (Bahagian I)

Penglibatan dari kalangan penulis berbakat yang tidak ramai bilangannya memungkinkan kita perlu berusaha gigih sekurang-kurangnya dalam tempoh dua puluh lima tahun untuk melihat sastera kita di negara ini mencapai matlamat kemajuannya di masa yang akan datang. Ini jika dilihat dari segi ukuran masa dan penyertaan dari kalangan penulis. Kita telah pun melalui zaman yang berbeza dan berubah-ubah tetapi pencapaian yang dapat kita lihat sekarang ialah tidak banyak penulis berbakat kita yang terlibat secara aktif dalam sastera dan menulis hanya sekadarnya. Sepatutnya kita sudah berada dalam keadaan selesa dengan perkembangan, kemajuan dan pencapaian sastera yang kita perolehi hari ini kerana hampir setaraf dan berganding bahu dengan negara-negara yang memperjuangkan sastera Melayu di rantau ini.

Tidak perlulah kita bersoal-jawab dan memberi berbagai alasan yang difikirkan munasabah dalam perkara ini. Bukan sebab kita telah berusaha lebih dan sentiasa betul dalam setiap perkara, tetapi hakikatnya ialah apabila seseorang yang berbakat itu mahu menjadi penulis kita sebenarnya tidak pernah tahu mengapa dia melibatkan diri dalam bidang bahasa dan sastera, khususnya dalam penulisan. Memang kita tidak perlu tahu, kerana ini berhubung rapat dengan bakat dan minat. Akan tetapi, alangkah baiknya jika kita dapat tahu kerana ini akan menentukan arah matlamat dan menanam kepercayaan yang ingin kita capai bersama di dalam diri seseorang penulis sastera berbakat tersebut.

Matlamat ialah sesuatu yang hendak dicapai, tujuan atau sasaran yang boleh membangkitkan semangat untuk bekerja dan menghasilkan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan seseorang. Apabila seseorang penulis berbakat itu muncul dengan sejumlah karya serta memperlihatkan daya kreativitinya, melalui puisi dan cerpen misalannya, terbit dalam akhbar dan majalah sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka, sebenarnya dia juga perlu berusaha untuk mencapai matlamat. Bukan sahaja bagi dirinya sebagai individu bahkan juga dalam memberi sumbangan yang bererti dalam memperkembangmaju kesusasteraan kita di negara ini.

Tanpa matlamat seseorang yang berbakat sudah tentu tidak berkeinginan untuk berkarya dan dikenali menjadi penulis. Tanpa matlamat Dewan Bahasa dan Pustaka juga sudah tentu tidak berkeinginan mempertabatkan bahasa dan sastera di negara ini dengan lebih gigih. Tanpa matlamat samalah umpama kita bekerja hari ini untuk hari ini sahaja atau kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dengan matlamat kita mempunyai perancangan sekurang-kurangnya untuk melihat hasil dan pencapaian sastera kita beberapa tahun yang akan datang.

Oleh sebab tidak ramai penulis berbakat kita di negara ini tidak dapat melihat matlamat yang sedang kita perjuangkan melalui sastera maka kita dapati penyertaan dari mereka ini tidaklah begitu memberangsangkan. Jika pun ada yang mahu menjadi penulis dan menulis memadailah dengan bilangan yang tidak ramai, setakat beberapa orang. Bertambah pun tidak ramai, setakat beberapa orang. Mereka ini pun hanya mampu menulis dan menerbitkan beberapa buah puisi dan cerpen dalam masa setahun-dua. Jelas tidak ada kesungguhan dan minat yang berkekalan.

Kita juga tidak tahu ke manakah haluan para pelajar dan graduan institusi pengajian tinggi yang mengikuti kursus di bidang bahasa dan sastera di negara ini selepas tempoh pengajian mereka. Jawapan kita mudah sahaja, mungkin kerana mereka ini tidak mahu menganggap yang diri mereka mempunyai bakat dan minat untuk menulis dan terlibat dalam sastera. Jadi mereka pun tidak mempunyai matlamat untuk mempertabat dan memperkembangmaju bahasa dan sastera di negara ini sebenarnya. Sewaktu diterima masuk mengikuti pengajian di universiti dan mendaftar sebagai seorang mahasiswa dan mempelajari bahasa dan sastera sebenarnya mereka pun bukan mempunyai kepercayaan yang tinggi dalam aliran ini. Mereka masuk universiti dan mempelajari bahasa dan sastera kerana lebih berminat dengan kelulusan - dapatlah menjawat jawatan guru bahasa atau sastera sepenuhnya, atau jika bernasib baik menjadi pengurus dan pentadbir yang jauh lebih selesa, berbanding jika dikenali sebagai penulis, sasterawan dan penggiat seni sastera.

Buktinya kebanyakan kalangan guru-guru bahasa atau sastera di sekolah, maktab dan institusi pengajian tinggi yang memiliki kelulusan dalam aliran sastera pun tidak banyak yang mahu tampil sebagai penulis dan menerbitkan karya mereka di akhbar, majalah atau jurnal sastera kita. Hanya beberapa orang sahaja yang dapat kita sebut namanya, tetapi jelas mereka ini pun bukanlah bakat-bakat baru dalam penulisan dan sudah sepatutnya pergi bercuti, berehat dan menumpukan perhatian dalam penulisan mereka daripada memikirkan zaman kemalapan yang mungkin akan dialami oleh generasi kita yang akan datang.

Dua puluh lima tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat. Jika kita memiliki seorang penulis remaja yang mempunyai kesungguhan, misalannya sekarang berusia antara dua belas tahun hingga dua puluh tahun, kita yakin yang dia tentulah sudah dewasa ketika itu dan telah menjadi seorang penulis mapan. Dan kita juga berharap dia akan mencapai matlamat yang jauh lebih baik daripada yang kita perolehi hari ini. Sebagai seorang anak remaja yang bermaruah dan hidup dalam satu bangsa, negara dan agamanya dia tidak mungkin akan lari dari rasa tanggungjawab, dan tidak pula berasa terpaksa untuk memilih matlamat sesuatu bidang yang kita fikirkan baik untuknya. Begitu juga halnya dalam kontek bahasa dan sastera yang kita warisi sejak zaman dahulu lagi dan kita pelihara dengan baik sampai sekarang ini.

Langkah-langkah untuk menarik minat mereka ini untuk terus terlibat dalam penulisan dan kegiatan sastera yang di adakan sepatutnya telah mampu menyumbangkan sesuatu dalam perkembangan kesusasteraan kita hari ini. Jika sumbangan itu berupa penghasilan kuantiti yang menggalakkan, ini akan merancakkan lagi penerbitan majalah, jurnal dan buku-buku sastera Melayu kita di negara ini, khusus oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Begitu pun kita tetap perlu memenuhi keperluan kualiti sebagai syarat, kerana dalam kita berusaha mencapai matlamat yang kita kehendaki itu hasil sastera kita juga harus mencapai nilai seni seperti yang kita fahami dari hasil-hasil karya seni sastera sejagat. Jika tidak masyarakat kita sendiri pun sudah tentu masih memandang rendah terhadap hasil sastera kita, walau pun mereka pernah dididik dan membaca karya-karya seni sastera yang dihasilkan oleh masyarakat termaju dari Barat umpamanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Majalah Mekar dan Perkembangan Sastera Kanak-Kanak di Negara Brunei Darussalam

Peraduan Menulis Karangan, Cerpen dan Rencana 2011 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei.

Ucapan Terima Kasih di atas pemberian Hadiah Penghargaan Sasterawan Muda MASTERA bertempat di Hotel Santika, Salipi, Jakarta, Indonesia pada 27hb September 2010.


Terima kasih jika awda sudah belanja Puasha 'secawan kopi' untuk dia terus menulis di sini