Menang dalam peraduan atau kerana menjaga reputasi sebagai seorang penulis

Saya pernah ditanya 'kenapa tidak ikut menulis dalam peraduan'. Apabila saya menjawab 'tidak berminat', mereka lalu mengatakan bahawa saya sebenarnya 'takut tidak menang, atau takut kalah memandangkan saya adalah orang yang sudah lama menulis dan karya saya sering terbit di akhbar dan majalah. Jadi adalah sangat memalukan jika saya tidak menang, apatah lagi jika peraduan itu nanti akan dimenangi oleh muka-muka baru'.

Saya tidak pernah peduli dengan pendapat tersebut. Sebenarnya saya tidak pandai menulis dalam peraduan, atau kerana menginginkan hadiah, penghargaan, pengiktirafan, atau kerana nama dan sebagainya. Menjadi seorang penulis ialah kerana saya ingin membina sebuah kehidupan yang sebenarnya ke dalam diri saya, dan jika pembaca mendapat manfaat dari karya-karya saya itu, ia sudah lebih dari cukup dari apa yang saya fikirkan.

Dengan yang demikian, sejak menjadi penulis, saya rasa saya sudah lama menang atau menjadi seorang pemenang - kerana untuk menjadi seorang penulis dan menulis itu sahaja bukanlah suatu kerja yang mudah. Untuk mengekalkan kemenangan ini, saya mesti menjaga reputasi sebagi seorang penulis, dan membina sebuah kehidupan yang sebenarnya ke dalam diri saya. Dan saya masih ingat, tidak pernah ada orang lain yang menyuruh saya untuk memilih menjadi seorang penulis.

Tidak dinafikan, sebenarnya saya juga pernah ikut serta dalam peraduan menulis, itu pun hanya sebanyak dua penyertaan. Kali pertama ialah Peraduan Menulis Cerpen DBP 1989 dengan sebuah manuskrip cerpen yang bertajuk 'Antara Dua Jurang', dan yang terakhir sekali ialah Peraduan Menulis Cerpen Hadiah Kreatif Bahana DBP-BSP 2013 yang lalu dengan sebuah manuskrip cerpen yang bertajuk 'Cinta Cinta Cinta Sebuah Persoalan Bercinta di Internet'. Dan secara peribadi, saya akui pengalaman dari kedua-dua penyertaan dalam peraduan tersebut memang cukup memberangsangkan juga, dan awda perlu ingat ianya bukan kerana hadiah.

Ulasan