11 Fungsi Cerita Kanak-Kanak Yang Perlu Kita Ketahui.
1. Fungsi yang dikemukakan mestilah berunsur universal supaya pengalaman yang dibentangkan atau didedahkan dapat dihayati. Ini bermakna buku itu berjaya merentangi ujian masa dan dapat dinikmati oleh kanak-kanak di mana-mana saja dan bila-bila masa, contohnya ialah buku-buku yang sudah menjadi klasik. Jadilah wataknya yang sentiasa boleh dikenal pasti (identify) oleh kanak-kanak tidak kira masa, tempat, dan zaman.
2. Melalui cerita yang dibaca, kanak-kanak akan terdedah kepada pelbagai jenis kehidupan manusia, baik secara individu atau kumpulan. Dengan terdapatnya unsur begini, kanak-kanak dapat melihat perspektif kehidupan manusia yang lebih optimis serta memahami keadaan diri mereka dengan lebih nyata. Dari itu, apa yang disampaikan oleh penulis mestilah rangkaian peristiwa dan pengalaman yang benar-benar berhubung dengan realiti tetapi yang dilihat dan diceritakan dari kaca mata dan persepsi kanak-kanak.
3. Kanak-kanak memperolehi pengalaman, bertukar-tukar pengetahuan, nilai, dan sikap. Jelasnya, kanak-kanak dapat menimbulkan rasa tolak ansur setelah mengetahui pengalaman orang lain yang digambarkan begitu terperinci dalam cerita yang mereka baca, terutama apabila cerita itu membawa mereka kepada kehidupan masyarakat yang lain.
4. Kanak-kanak dapat meluaskan pengalaman kreatif dan saintifik mereka. Melalui bahasa, lukisan, dan pengetahuan yang bermutu, kita dapat mendedahkan mereka kepada penghayatan unsur-unsur sastera, seni, dan pengetahuan sains yang baik. Dengan ini mereka dibimbing untuk membezakan perkara-perkara yang bernilai dan yang tidak bernilai.
5. Kanak-kanak akan dirangsang untuk meneroka kejadian atau perkara yang tidak mereka ketahui. Dengan mengemukakan cerita binatang, minat serta imiginasi mereka akan dibawa ke arah memikirkan kehidupan binatang di hutan rimba memupuk rasa sayangkan binatang.
6. Kanak-kanak memahami atau timbul kesedaran tentang prinsip-prinsip keadaan semula jadi manusia, tentang keadaan fizikal dunia ini dan hubungan ekologinya, Buku mestilah menjadi penggerak kepada kesedaran kanak-kanak tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka.
7. Kanak-kanak akan dapat menghayati dan merasai keindahan dan pencapaian menusia. Jelasnya, apa yang didapati kanak-kanak melalui buku mestilah menjadikan mereka lebih optimis, kerana mereka belum lagi memiliki memori. Mereka sentiasa memandang ke hadapan untuk membesar seperti orang dewasa di sekeliling mereka.
8. Kanak-kanak akan dapat menimbulkan motivasi dan aspirasi bagi mencapai sesuatu yang baik untuk semua, Ini bermakna, perkara-perkara yang menimbulkan kesan prejudis kepada kanak-kanak mestilah diketepikan kerana kemampuan kanak-kanak untuk menilai kebaikan dan keburukan masih abstrak dan konseptual.
9. Melalui cerita yang dibaca, kanak-kanak akan dapat membeza dan menilai perkara baik dan buruk khususnya mengenai perlakuan manusia.
10. Kanak-kanak akan berkeupayaan untuk melihat, menilai, dan memahami kejadian yang berlaku secara menyeluruh.
11. Kanak-kanak akan memperolehi kreativiti dalam pemikiran, persepsi, dan ekspresi.
Dipetik dari Haji Nurazmi Kuntum, 2008. Sastera Kanak-Kanak dan Kaedah Pengajaran. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei. hlm. 6-8.
Ulasan