Sehingga sekarang, di samping menganjurkan
peraduan menulis karangan, penerbitan beberapa buah buku cerita, novel,
antologi cerpen, antologi puisi, dan
majalah, khususnya majalah Mekar yang
mengandungi sastera kanak-kanak dan remaja yang dihasilkan oleh para pelajar,
Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei telah memperlihatkan suatu kesungguhan dan
keyakinan dalam memperkembangkan sastera kanak-kanak dan minat berkarya dari
golongan ini di Negara Brunei Darussalam.
Sejak tahun 1967, Dewan Bahasa dan Pustaka
Brunei melalui penerbitan majalah Mekar
telah membuka peluang dan minat dari kalangan remaja dan para pelajar untuk
mengarang cerpen dan puisi bagi mengisi ruangan yang disediakan. Situasi ini
telah berlanjutan selama lima puluh tahun, dan majalah Mekar telah melahirkan begitu ramai penulis berbakat besar, antaranya
yang dapat disebut ialah Awang Damit, Muslim Burmat, Salleh Abd. Latiff, Adi
Marhaen, Rusman Ali, Pengiran Aji Pengiran Mohd Tahir, Morshidi Haji Marsal,
Chong Ah Fok, A. Mohammad Haji Timbang, Aminah Haji Momin, Zefri Ariff, Faridah
Abdul Hamid dan lain-lainnya, walaupun untuk melahirkan seseorang sasterawan
itu tidak mudah.
Istilah sastera remaja
dikatakan baharu muncul dalam dekad 1980an, dan pada masa itu ia dikenali
sebagai sastera kanak-kanak. Di Barat, walaupun tradisi bersastera dan
kebangkitan tamadun mereka lebih awal, sastera kanak-kanak lebih banyak
dibicarakan jika dibanding dengan sastera remaja (Othman Puteh, 1998: 8-10). Menurut
Loh Mei Pei (1991: 26-29), dalam penelitiannya terhadap novel remaja sebagai
bahan bacaan sastera di peringkat menengah atas, menemukan bahawa istilah adolescent literature sudah ada disebut
dalam The Oxford English Dictionary
Valume I (1989: 170). Manakala Robert E. Probst (1984:114) melalui bukunya
yang berjudul Adolescent Literature:
Response and Analysis menulis, bahawa:
[…]
as young children and as adults indicate the gulf between childhood and
maturity and suggests the importance of considering that gulf in planning
literature instruction. […] There is, fortunately, a growing body of literature
well suited for adolescent readers. It has not always been considered
respectable, and by many it still is not, but literature written for adolescent
has, in the past several decades, attracted the attention of many librarians
and teachers as well as the students themselves.
Melalui pernyataan yang diberikan oleh
Robert E. Probst tersebut telah membuka senario baharu mengenai kehadiran
sastera remaja sejak beberapa dekad yang lampau dan mendapat perhatian yang
wajar, terutama di kalangan pustakawan, guru, dan para pelajar. Malah, dalam
bab khusus mengenai sastera remaja dalam bukunya itu, Robert E. Probst (1984:
115) juga menegaskan bahawa:
[…]
Literature for adolescent is, in other words, now a significant body of works
that merits the attention of English teachers.
Sebelum itu sudah terdapat beberapa
penelitian dan penerbitan buku mengenai sastera remaja dari para sarjana di
Amerika. Antaranya ialah G. Robert Carlsen dengan bukunya yang berjudul Books and the Teenage Reader: A Guide for
Teachers, Librarians, and Parents (1980); Kenneth L. Donelson dan Allen
Pace Nilsen dengan buku mereka Literature
for Today’s Young Adults (1980) yang di antara lain membincangkan tentang
sejarah sastera remaja dan hasil karya kontemporari untuk remaja. Begitu juga
Sheila Schwartz telah memperkatakan tentang metodologi dan analisis terhadap
sejumlah besar buku remaja berdasarkan kelompok tema melalui bukunya yang
berjudul Teaching Adolescent Literature:
A Humanistic Approach (1979).
Di Negara Brunei Darussalam, penelitian dan
penerbitan buku mengenai sastera kanak-kanak bermula apabila Nurazmi Kuntum
menulis secara khusus dua buah bukunya yang berjudul Kaedah Mengajar Sastera (1997); dan Sastera Kanak-Kanak dan Kaedah Pengajaran (2008) yang membicarakan
skop berkaitan dengan sastera kanak-kanak yang meliputi jenis cerita, struktur
cerita, dan sinopsis cerita kanak-kanak dan remaja yang ada di negara ini. Buku
ini juga menekankan bahawa kemahiran dan pengalaman dalam penelitian sastera
kanak-kanak merupakan satu perkara penting dalam pengajaran sastera di kalangan
para pelajar. Selain daripada itu, Nurazmi Kuntum (2008: 5) juga mengingatkan bahawa:
[…}Sastera
mempunyai kedudukan tersendiri dalam semua masyarakat. Semua manusia dari
peringkat kanak-kanak hingga dewasa umumnya memang dekat dengan kesusasteraan.
Antara tingkat kesusasteraan yang selalu dilupakan adalah kesusasteraan kanak-kanak.
Oleh yang demikian adalah jelas bahawa
kesusasteraan kanak-kanak dan remaja merupakan wadah yang sangat penting dalam
usaha untuk mengisi tuntutan minda, pembentukan sahsiah, kerohanian, dan
pemantapan psikologi golongan remaja dan para pelajar ketika negara menikmati
era teknologi maklumat dan komunikasi. Namun, kemasukan sastera remaja yang
berbentuk multigenre telah banyak
diketemukan beredar di pasaran dan menjadi bahan bacaan khalayak remaja pada
masa ini turut menjadi kebimbangan, serta perlu diimbangi dengan kajian atau
penelitian dari pelbagai aspek.
Ketika Internet
diperkenalkan dan menjadi saluran utama komunikasi, atau mekanisme peraliran
maklumat dan media untuk kolaborasi serta menjadi perantaraan antara individu
dengan komputer tanpa mengira lokasi geografi, proses pembelajaran secara
tradisional bertukar kepada satu ‘sistem pembelajaran berbantukan komputer’,
malah memasuki ‘sistem pembelajaran maya’. Oleh itu bidang kesusasteraan
kanak-kanak dan remaja tidak terkecuali daripada arus perdana ini. Bermula
dengan tradisi lisan, berubah bentuk kepada tulisan dalam bahan bercetak, dan
kini sudah memasuki alam maya dengan wajah dan kualiti imej yang terbina
daripada gabungan 3D yang lebih menarik.
Ternyata kepesatan perkembangan teknologi
maklumat dan komunikasi dapat dirasakan sehinggakan dunia ini telah dianggap
sebagai rata dalam kontek persaingan dan kerjasama dalam pelbagai bidang dengan
seluruh agensi dan institusi di serata pelusuk dunia, seperti mana yang
dinyatakan oleh Thomas L. Friedman dalam bukunya yang bertajuk The World is Flat: a Brief History of
Globalized World in the 21st. Century (2005: 8) bahawa:
[…]
it is now possible for more people than ever to collaborate and compete in real
time with more other people on more different kind of work from more different
corners of the planet and more equal footing than at any previous time in the
history of the world using computer, e-mail, network, teleconferencing, and
dynamic new software […] the flattening the world means is that we are now
connecting all the knowledge centers on the planet together into a single
global network.
Begitupun, sejak awal lagi kewujudan
majalah Mekar masih merupakan satu
petanda positif dalam perkembangan sastera kanak-kanak dan remaja di Negara
Brunei Darussalam. Antara yang dapat disebut ialah, pertama sekali bentuk
persembahan dan teknik penerbitan telah ditingkatkan serta dipelbagaikan dengan
isi kandungan dan ruangan yang bersesuaian dengan konsep Melayu Islam Beraja
sebagai falsafah khusus untuk menangani kelangsungan hidup kesusasteraan kanak-kanak
dan remaja di negara ini. Konsep ini telah mula ditekankan sejak Negara Brunei
Darussalam mencapai kemerdekaan penuh pada tahun 1984 untuk dipelajari dan
dihayati oleh remaja dan para pelajar hingga ke peringkat institusi pengajian
tinggi.
Kedua, bermula pada dekad 1980an beberapa
buah karangan dan karya sastera yang berupa cerpen atau puisi kanak-kanak dan
remaja yang pernah terbit di majalah Mekar
telah diiktiraf dan dinilai untuk diterbitkan dalam bentuk buku antologi, maka
lahirlah Untaian Mekar (1976), Antologi Cerpen Kanak-Kanak ‘Basikal Idaman’
(1988), Kumpulan Puisi Kanak-Kanak ‘Merpatiku
Sayang’ (1988), Antologi Puisi
Kanak-Kanak ‘Tanahairku’ (1989), Antologi
Cerpen Mekar ‘Sesekali Angin Bertiup’ (1997), dan Antologi
Puisi Kanak-Kanak ‘Aku Anak Brunei’ (2012).
Beberapa buah karangan yang menang dalam
beberapa Peraduan Menulis Karangan Majalah Mekar
– Juara Pelajar (BLNG – DBP) yang
diadakan sejak tahun 1984 juga diberi hadiah atau penghargaan yang sepatutnya.
Ini membuktikankan kesungguhan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei untuk
memperkembang dan meletakkan sastera kanak-kanak dan remaja di negara ini pada
tahap yang wajar dan penting dalam kesibukan kita menghadapi kederasan arus
pembangunan fizikal, ekonomi, dan teknologi maklumat.
Ketiga, majalah Mekar yang mengandungi sejumlah karangan dan karya sastera
kanak-kanak dan remaja sehingga kini telah dijadikan bahan bacaan tambahan
dalam mata pelajaran para pelajar di sekolah, serta digunakan sebagai bahan kajian
oleh beberapa buah fakulti di institusi pengajian tinggi dalam mengisi matlamat
tertentu di pelbagai jurusan akademik. Ini dapat dilihat melalui latihan-latihan
ilmiah yang pernah dibuat oleh beberapa orang mahasiswa di Universiti Brunei
Darussalam, antaranya oleh Hajah Salmah binti Haji Abd Hamid dengan judul
kajiannya “Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu di Kalangan
Guru Sekolah Menengah Bawah di Daerah Brunei Muara” (1999).
Begitu juga dengan Nor Ashiddeq bin Haji
Hamdi dengan judul kajiannya “Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran Bahasa
Melayu: Satu Tinjauan di Sekolah Rendah Tumpuan Telisai, Tutong II” (2007);
Haslina binti Haji Abdul Kahan dengan judul kajiannya “Penggunaan Bahan Sastera
dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di Salah Sebuah Sekolah Rendah
(2010); dan Mohammad
Erul Nizam bin Aiadin dengan judul kajiannya “Penggunaan Bahan Sastera dalam
Pengajaran Bahasa Melayu di Peringkat Sekolah Menengah Tahun 7” (2011).
Secara keseluruhannya, golongan remaja
dapat dilihat daripada beberapa perspektif, dan dari sisi kriteria serta nilai
mana pun yang cuba diterapkan, antaranya ialah masa remaja adalah zaman
peralihan daripada kanak-kanak kepada alam dewasa sebagai satu syarat yang
dituntut demi kemajuan sesuatu masyarakat. Oleh itu perkembangan sastera
kanak-kanak dan remaja yang dibawa oleh majalah Mekar, khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei pada ketika ini
dapat dianggap sebagi selaras dengan proses pertumbuhan dan membesar kanak-kanak
itu sendiri, iaitu terdapat suatu hubungan yang erat dan sebati antara sastera
dengan kanak-kanak di negara ini.
Bibliografi
Azhar
Hj Wahid (Peny.), 2011. Globalisasi
Sastera Siber. Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Friedman,
Thomas L., 2005. The World is Flat: A
Brief History of Globalized World in the 21st. Century. London: Penguin and
Allen Lane.
Hadijah
Rahmat, 2006. Peranan dan Perkembangan
Sastera Kanak-Kanak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Haslina
binti Haji Abdul Kahan, 2010. “Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran dan
Pembelajaran Bahasa Melayu di Salah Sebuah Sekolah Rendah”. Latihan Ilmiah
Ijazah Sarjana Muda. Bandar Seri Begawan: Universiti Brunei Darussalam. Belum
terbit
Loh
Mei Pei, 1991. “Novel Remaja Sebagai Bahan Bacaan Sastera dalam Sukatan
Pelajaran KBSM Bahasa Malaysia Menengah Atas: Satu Analisa dari Aspek Tema,
Perwatakan dan Gaya Bahasa”. Latihan Ilmiah Jabatan Persuratan Melayu,
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Matlob,
1964. Sastera Alam Kanak-Kanak. Kuala
Lumpur: Pustaka Antara.
Misran
Rokimin, 2013. Kritikan Sastera Remaja:
Teori dan Aplikasi. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohammad
Erul Nizam bin Aiadin, 2011. “Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran Bahasa
Melayu di Peringkat Sekolah Menengah Tahun 7”. Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana
Muda. Bandar Seri Begawan: Universiti Brunei Darussalam. Belum terbit
Mohd
Yasin bin Haji Tengah, 1991. “Puisi Tradisional Kanak-Kanak Brunei”. Latihan
Ilmiah Ijazah Sarjana Muda. Bandar Seri Begawan: Universiti Brunei Darussalam.
Belum terbit
Nor
Ashiddeq bin Haji Hamdi, 2007. “Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran
Bahasa Melayu: Satu Tinjauan di Sekolah Rendah Tumpuan Telisai, Tutong II”.
Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda. Bandar Seri Begawan: Universiti Brunei
Darussalam. Belum terbit
Nurazmi
Kuntum, 1997. Kaedah Mengajar Sastera.
Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.
Nurazmi
Kuntum, Haji, 2008. Sastera Kanak-Kanak
dan Kaedah Pengajaran. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei
Othman
Puteh, 1989. Sastera Remaja di Tinjau
Daripada Beberapa Perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Othman
Puteh, 1998. Tanggapan Terhadap
Kesusasteraan Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Othman
Puteh dan Abdul Ahmad, 1984. Sekitar Sastera
Kanak-Kanak dan Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Probst,
Robert E., 1984. Adolescent Literature:
Response and Analysis. Ohio: Charles E. Merill.
Salmah
binti Haji Abd Hamid, Hajah, 1999. “Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran
Bahasa Melayu di Kalangan Guru Sekolah Menengah Bawah di Daerah Brunei Muara”.
Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda. Bandar Seri Begawan: Universiti Brunei
Darussalam. belum terbit
Simpson,
J. A. dan Weiner, E. S. C., 1989. The
Oxford English Dictionary Volume I. London: Oxford University Press.
Talib
Samat, 1992. Menangani Penulisan Kreatif
Sastera Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tassin/Tassim
bin Haji Abu Bakar, Haji, 1991. “Pengajaran Kesusasteraan Melayu di Sekolah
Menengah Awang Semaun: Satu Kajian”. Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda. Bandar
Seri Begawan: Universiti Brunei Darussalam. Belum terbit
Ulasan