Brunei Press: Teruskan Penerbitan Buku Sastera Melayu Tempatan.

Sesekali kita harus berterima kasih kepada Brunei Press kerana telah turut melibatkan diri dalam penerbitan buku-buku yang berbentuk sastera pada akhir-akhir ini. Usaha seperti ini bukan saja memberi ruang kepada penulis tempatan kita untuk menerbitkan karya mereka, malah dengan sendirinya membuktikan bahawa betapa Sastera Melayu yang mekar berkembang di negeri ini telah pun mendapat tempat di hati sidang editor penerbitannya.

Terdahulu, iaitu pada sekitar tahun 1997 saya masih ingat telah pernah membawa naskhah novel remaja saya sendiri ke meja editor penerbitan Brunei Press, dengan satu harapan agar ianya dapat dipertimbangkan penerbitannya. Namun oleh kerana pihak penerbit ketika itu masih tidak mempunyai fasiliti penerbitan untuk genre ini, maka niat saya untuk melihat naskhah novel itu terbit di bawah lambang Brunei Press tidak kesampaian.

Dan akhirnya saya pun beralih arah dengan menghantar naskhah novel remaja tersebut ke Bahagian Penerbitan Buku di Jabatan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei sehinggalah berhasil diterbitkan tujuh tahun kemudian (2004). Novel remaja tersebut terbit dengan judul asal ‘Sebuah Pondok Di Bukit Kota’ yang saya tulis ketika dalam usia yang begitu muda dengan mesin taip lama, kerana pada masa itu belum mampu untuk memiliki sebuah Komputer.

Setelah meneliti dan membaca novel itu berulang-ulang kali, saya berasa begitu banyak kekurangannya. Saya juga berasa berkecil hati kerana design kulit buku yang dipersembahkan sangat simple dan boleh dikatakan tidak menggambarkan isi cerita dan tema novel yang saya tulis pada masa itu. Target pembaca saya sudah tentulah pembaca remaja, dan mereka sudah tentulah tidak dapat mengagak isi novel itu jika hanya melihat dari design kulit buku novel yang dipamerkan.

Saya harap keadaan ini tidak akan berulang lagi untuk naskhah buku yang telah saya hantar ke Bahagian Penerbitan tersebut di masa yang akan datang.

Berbalik kepada penerbitan di Brunei Press, saya berasa teruja dengan beberapa penerbitan buku sastera yang telah mereka terbitkan. Antaranya ialah ‘Antologi Sajak BAN 4’ hasil karya Norja terbit pada 2006 yang lalu. Dan yang terbaharu ‘Antologi Sajak Inilah Aku’ (saya lupa nama penulisnya) terbit pada pada 2008. Kedua-dua buku antologi sajak ini memang mempunyai persembahan yang menarik serta dengan tawaran harga yang cukup murah saya rasakan. Mudah-mudahan usaha seperti ini akan berterusan hingga menghasilkan lebih ramai lagi penulis karya sastera kita tampil dan menerbitkan buku sastera mereka di bawah lambang penerbitan Brunei Press.

Berikut ialah petikan dari Prakata buku ‘Antologi Sajak BAN 4’ hasil karya Norja yang telah saya miliki dan sedang saya baca pada hari ini.

Ilmu yang paling berharga dalam kehidupan manusia ialah pengalaman – sama ada yang menggembirakan atau menyedihkan.

Pengalamanlah yang mengajar manusia menjadi lebih dewasa kerana pengalaman adalah sejarah dan manusia yang melupakan sejarah akan melakukan kesilapan yang sama berulang. Sedangkan mereka yang belajar dari sejarah dan sesekali menoleh ke belakang ketika bergerak ke depan sering menemui jalan lebih luas.

Sesungguhnya pengalaman dapat dikongsi bersama-sama. Ada secara langsung atau melalui curahan perasaan menggunakan bahasa halus.

Begitulah Haji Mohd. Ja’afar bin Mat Tahir mengajak khalayak berkongsi pengalamannya secara halus dan berseni.

Pastilah curahan rasa dalam BAN 4 akan menambah khazanah seni dan budaya Melayu Negara Brunei Darussalam.

Kumpulan sajak ini memuatkan sebanyak 52 buah sajak-sajak dari simpanan dan yang pernah diterbitkan yang difikirkan penulis terbaik untuk tatapan bersama. Dan jangan terkejut, awda boleh mendapatkannya di mana-mana kedai buku yang berdekatan dengan harga BND$3.00 senaskah sahaja.

Ulasan