Kempen pemasaran Lynn Brittney dikritik.

LAMAN web Christine Kringle di alamat http://www.christinekringle.com/win-5000.html melancarkan kempen pemasaran yang kreatif dengan memberi peluang kepada pembaca buku kanak-kanak karya Lynn Brittney untuk memberi cadangan plot untuk siri terbarunya. Menariknya, pemenang bukan saja meraih hadiah lumayan AS$5,000, bahkan nama mereka akan tercatat pada kulit hadapan siri terbaru Christine Kringle, di bawah nama pengarangnya dan ilustrator, manakala cadangan plot pemenang kedua akan disimpan oleh penganjur untuk penerbitan siri berkenaan pada masa depan.

Syarat pertandingan itu ialah sinopsis plot ditulis tidak lebih daripada satu halaman dan berpusat pada watak utama dalam Buku 1, tetapi latar cerita tidak dihadkan kepada yang asal, sebaliknya mereka dibenarkan untuk mengembara bersama-sama watak baru. Pertandingan itu tidak terlepas daripada kritikan apabila penulis blog The Guardian Book, Alison Flood, mengkritik tindakan penganjur mensyaratkan peserta untuk mengepilkan bukti pembelian buku pertama siri berkenaan.

“Sebenarnya tidak salah untuk pengarang, terutama daripada aspek komersial untuk mendengar kehendak pembaca, bahkan penerbitan gergasi, Harlequin Mills & Boon melancarkan Tell Harlequin, panel penasihat dalam talian yang mempelawa pembaca memberi saranan terhadap novel bakal terbit, sekali gus berkongsi pengalaman dengan penerbit. Bagaimanapun pendekatan Brittney yang mensasarkan plot dan jualan buku serentak, kelihatan malas dan bahkan seperti terdesak. Tindakan beliau mendapat perhatian saya dan mungkin ramai pembaca menyedarinya, lalu berlumba-lumba untuk membeli naskhah pertama Christine Kringle,” katanya dalam blog itu.

Bagaimanapun, Brittney mempertahankan tindakan itu dengan menganggap ia hanya strategi pemasaran yang memberi keuntungan dua pihak dan bukan didorong faktor kehabisan idea, sebaliknya agar buku yang diterbitkan menepati cita rasa pembaca kanak-kanak sendiri. “Ya, saya dapat menjual lebih banyak buku, tetapi mengapa tidak? Cuba lihat penerbit besar yang mewujudkan persaingan, membuat penggantian produk dan memberi dua tiga tawaran. Bagi mereka yang merasakan pertandingan kami seperti terdesak, siapakah yang tidak terdesak dalam dunia penerbitan? Tidakkah tanda terdesak itu juga terlihat pada pengarang yang sanggup datang dari jauh ke majlis tandatangan buku yang hanya dihadiri dua tiga pembaca atau pada penerbit yang menerbitkan buku tulisan orang lain, tetapi menggunakan nama seleberiti sebagai penulis?” persoal Brittney.

Christine Kringle bertema sambutan Krismas, mengisahkan misi kanak-kanak perempuan untuk menyelamatkan sambutan terbabit daripada diharamkan di sebuah bandar di England, meskipun sebelum itu dia tidak dibenarkan menjadi pemberi hadiah Krismas kerana undang-undang Dinasti Yule menetapkan tugasan itu hanya diwarisi anak lelaki.

Ulasan