SECRETS of How My Mother Became a Millionaire karya Pepper Lim termasuk dalam senarai buku paling laris pada awal Ogos tahun ini.


SECRETS of How My Mother Became a Millionaire karya Pepper Lim membawa pembaca mendalami rahsia kejayaan ibu penulis sebagai seorang jutawan dan diselangi dengan nasihat berguna bagi memungkinkan pembaca mengikut jejak langkahnya dalam era globalisasi yang serba mencabar ini. Meskipun buku ini termasuk dalam kelompok motivasi, tetapi pengarangnya memanfaatkan teknik penceritaan dalam usahanya menyelamatkan pembaca daripada masuk dalam kepompong kebosanan selain menyulamnya dengan kata-kata pujangga bagi mendorong mereka menyelami rahsia kejayaan ibunya.

Berbekalkan latar pendidikan yang sederhana dan memegang citra ibu pada usia muda, ibunya membesarkan dua anak yang masih kecil sambil memikul beban besar kerana suaminya ketika itu melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Bagaimanapun, sifat berjimat cermat dan sederhana yang diamalkan keluarganya sedikit sebanyak meringankan beban yang dihadapinya dan antara faktor penyumbang kepada kejayaan ibunya sehingga mampu tampil sebagai seorang jutawan. 

Selain itu, buku ini turut memberi kesedaran kepada pembaca mengenai keburukan sikap suka berhutang yang semakin menular dalam masyarakat Malaysia kerana ia silap hari bulan akan menjerat diri sehingga sesetengahnya memilih untuk bunuh diri bagi melepaskan diri daripada beban hutang.Antara petua menarik yang diselitkan pengarang ialah bagaimana ibunya memulakan perniagaan dengan menggunakan modal kecil sambil disokong oleh perancangan padu bagi memastikan sesuatu perniagaan yang dilaksanakan berhasil seperti diharapkan. 

Buktinya, ibu penulis turut melakukan pelaburan berisiko rendah dan perniagaan secara kecil-kecilan untuk keluar daripada belenggu kemiskinan sebelum berjaya merealisasikan impiannya untuk tampil sebagai usahawan berjaya lagi disegani. Penulis tertarik dengan kisah yang diselitkan pengarang kerana ia mampu memberi motivasi dan inspirasi kepada pembaca bahawa setiap keazaman yang disertai usaha keras serta dilakukan perancangan terperinci pasti akan membuahkan hasil. 

Karya ini bukan saja memberi pengertian mengenai cara menghasilkan duit semata-mata, malahan ia turut mengajak pembaca untuk mengenal erti pengorbanan setiap ibu bapa serta kepentingan pertalian kekeluargaan dalam kehidupan manusia.Kesusahan yang dilalui oleh keluarga penulis dengan tidak mengamalkan gaya hidup mewah walaupun berkemampuan, berjaya menyentuh emosi pembaca walaupun teknik penceritaan tidak dimanfaatkan sebaik mungkin. Secara luaran, buku ini penulis masukkan dalam kategori motivasi selain dipenuhi dengan nasihat berguna kepada pembaca, meskipun ada kalanya buku ini dirasai seolah-olah biografi kehidupan seorang jutawan wanita sebelum berjaya. 

INFO: Secrets of How My Mother Became a Millionaire 

  • Pengarang: Pepper Lim
  • Tebal: 169 halaman
  • Penerbit: Gui Management Centre
  • Harga: Tidak dinyatakan
  • Bintang: ****

Pepper Lim penulis buku motivasi. 

PEPPER Lim memulakan kerjayanya dalam bidang perniagaan sebagai jurujual, tetapi berkat kegigihannya, berjaya membuka syarikat perniagaan dan bekerjasama dengan beberapa syarikat besar selain giat memberi ceramah motivasi untuk orang ramai. 

Beliau banyak meluangkan masa untuk membaca pelbagai buku motivasi di samping membuat penyelidikan terhadap langkah untuk berjaya dalam bidang perniagaan selain menulis berdasarkan pengalamannya bersama-sama ibunya dalam mengharungi cabaran dunia perniagaan. 

Penulis ini berjaya membuktikan bahawa buku motivasi turut mendapat tempat di hati pembaca apabila Secrets of How My Mother Became A Millionaire berjaya termasuk dalam senarai buku paling laris pada awal Ogos tahun ini.

Ulasan

Bill berkata…
Membaca pengantar Anda untuk buku ibu Anda saya sangat terharu, kuat sekali spirit motivasinya, Pepper Lim memang motivator yang bagus,
If U have time pls come to Indonesia
Selamat Datang
http://bali-travel-tourism.blogspot.com/