Penulis Bukan Islam Tidak Fahami Agama.

Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien hari ini diiktiraf secara rasmi sebagai Tokoh Sasterawan Islam Brunei manakala Al-Marhum Pengiran Shahbandar Mohd Salleh Pengiran Sharmayuda sebagai Pelopor Kesusasteraan Moden Brunei.

Perisytiharan itu dibuat dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Titah perkenan berkenaan itu disabdakan oleh Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah hari ini pada Majlis Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).

Pengiran Muda Mahkota turut mensabdakan rasa kesalnya kerana berlaku percanggahan antara Islam dan bukan Islam apabila Islam dikaitkan dengan unsur-unsur kurang sihat. "Terdapat penulisan oleh karyawan Barat yang mengatakan keadaan itu berpunca daripada percanggahan tamadun. Kebenaran analisis itu belum dapat dipastikan, tetapi apa yang berlaku ialah percanggahan ini menimbulkan ketegangan, terutama apabila golongan bukan Islam yang menghasilkan penulisan mereka mengenai Islam kurang memahami Islam yang sebenar," sabdanya.

Pengiran Muda Mahkota bersabda menjelaskan bahawa kesusasteraan Islam adalah karya sastera yang menegakkan hubungan antara manusia, alam dan Allah yang bukan sahaja indah pada pendengaran dan penglihatan malah kehalusannya berupaya menambat hati nurani dan membawa sinar hidayah.

Yang berangkat sama ke majlis itu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik.

Dari segi sejarah, sabdanya Brunei mempunyai sejarah kesusasteraannya tersendiri dengan penulisan karya sastera moden di negara ini telah bertapak pada tahun 1845 dengan lahirnya Syair Rakis, karangan Pengiran Shahbandar Mohd Salleh yang membawa pemikiran baru dan kritis.

Penulisan karya berunsurkan Islam pula bertapak pada awal abad ke-19, sabdanya sambil menambah sabda: "Kita amat berbangga dengan hasil penulisan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dengan nama pena Muda Omar 'Ali Saifuddien yang telah bergiat aktif melahirkan karya-karya berbentuk syair."

Baginda bukan saja dapat merakamkan sejarah sosioekonomi dan politik semasa tetapi mencetuskan pemikiran yang tajam dan nasihat-nasihat yang bermanfaat untuk bangsa dengan luahan pemikiran dan nasihat-nasihat berkenaan masih lagi segar dan relevan sehingga kini, sabdanya.

Pengiran Muda Mahkota bersabda tentu saja hasil karya kesusasteraan yang awal itu telah mengilhamkan dan mendorong penulis pada masa kini untuk terus aktif bergiat menulis dan menghasilkan karya masing-masing.

Ia juga menjadi pemangkin kepada perkembangan penulis-penulis tempatan untuk menggiatkan penulisan sastera sehingga kini penulisan anak Brunei ada yang diiktiraf dan menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara di Thailand dan Hadiah Sastera MASTERA di Malaysia, sabda Pengiran Muda Mahkota.

"Kita mengharapkan penulisan karya sastera Islam negara ini akan membantu menyebarkan dan menerapkan nilai murni budaya masyarakat yang berpegang teguh kepada agama Islam dan konsep Melayu Islam Beraja," sabda Pengiran Muda Mahkota.

Pengiran Muda Mahkota kemudian bersabda menyatakan kepercayaannya bahawa Anugerah Kesusasteraan Islam ini akan mendorong dan merangsang usaha memartabatkan kedudukan kesusasteraan serta kesinambungan perkembangan dan kemajuan kesusasteraan negara ini. Pengiran Muda Mahkota kemudiannya berkenan menganugerahkan Anugerah Kesusasteraan Islam kepada Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Yahya Haji Ibrahim.

Ulasan