Peserta bengkel penulisan skrip drama kanak-kanak terima sijil.

Bengkel Penulisan Skrip Drama Kanak-kanak adalah untuk melahirkan penulis tanah air yang berpotensi dalam penulisan skrip drama kanak-kanak sama ada dalam bidang skrip drama radio, televisyen atau drama pentas.

Saranan itu diketengahkan Dr Mataim Bakar pada majlis penutup dan penyampaian sijil bengkel berkenaan yang berlangsung di Bilik Patih Berbai, Dewan Bahasa dan Pustaka, Lapangan Terbang Lama Berakas hari ini.

Awal daripada itu Pengerusi dan Jawatankuasa Bengkel Penulisan Skrip Drama Kanak-kanak, Hjh Nortijah Haji Hassan dalam ucapan alu-aluannya berkata kemunculan penulis yang sedia ada itu akan memberi nilai tambah yang ketara kepada bidang kesusasteraan tanah air.

"Dengan menyertai bengkel ini peserta akan dapat membiasakan diri dalam menghuraikan idea, isu semasa dan teknik penulisan skrip drama yang terarah berpandukan fasilitator dan beberapa buku rujukan," katanya.

Beliau berkata penyertaan 35 penulis pada bengkel itu adalah memuaskan dan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu penulisan skrip drama radio, penulisan skrip drama televisyen, dan penulisan skrip drama pentas.

Menurut beliau lagi tempoh empat hari bengkel berkenaan memang tidak mencukupi bagi mengupas tiga bidang penulisan sambil menambah kata: "Bagaimana pun ilmu yang hanya secubit ini sedikit sebanyak akan memberi cahaya, panduan dan rujukan pada semua bagi meneruskan penulisan skrip drama."

Bengkel berkenaan bukan perkara yang mudah kerana memerlukan pengamatan, ketelitian penulisan merakam sesuatu peristiwa/kejadian, struktur cerita yang teratur, penyusunan ayat yang kemas dan ejaan yang betul serta menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Ulasan