Skrip drama TV.

Saya telah dijemput oleh Unit Drama TV di Radio Televisyen Brunei (RTB) untuk menulis satu episode skrip drama kanak-kanak bagi siaran tvnya. Ia adalah satu peluang yang memang tidak boleh saya tolak. Memandangkan di negara kita ini hanya mempunyai sebuah stesen penyiaran tv, maka persaingan di antara para penulis skrip drama amat dirasakan. Jika skrip kita terpilih, ini bererti peluang kita untuk melangkah jauh di bidang penulisan skrip drama akan bertambah cerah.

Seperti yang diminta, saya berhasil menyediakan skrip tersebut dalam tempoh seminggu hanya dengan sedikit panduan serta format skrip yang sudah ditentukan. Saya tidak mempunyai masalah dengan bentuk cerita yang dikehendaki. Akan tetapi, apabila memperkatakan tentang format skrip, ada berbagai cara atau teknik yang digunakan – ini bergantung kepada kehendak penerbit drama tv tersebut. RTB juga memiliki format skrip yang agak mudah untuk diikuti oleh semua penulis, akan tetapi ini bukan bererti ianya boleh diterima pakai atau disenangi oleh semua penulis.

Jika boleh, saya lebih suka menghasilkan skrip drama tv dengan Final Draft, iaitu salah satu software yang boleh dikatakan ‘memudahkan’ proses penulisan skrip kita dari awal hingga ke akhir. Walau bagaimanapun, Final Draft mempunyai format skrip yang agak baru dan masih belum dapat diterima oleh kebanyakan penerbit drama tv kita. Dan saya juga ingin tahu, adakah sesiapa diantara penulis skrip kita yang telah cuba menggunakan Final Draft (atau software lain selain dari MS Word) untuk skrip dramanya lalu diterima oleh penerbit, khususnya di RTB.

Ulasan