Dokudrama 'Sebening Kasih-Nya'.

Saya berasa puas hati setelah lebih kurang satu minggu bergelut dengan idea dan permintaan dari penerbit drama di Unit Drama RTB, kerana akhirnya saya berhasil menyiapkan sebuah skrip dokudrama yang dijanjikan.
Saya rasa penerbit dokudrama ini juga berpuas hati dengan judul dokudrama yang saya gunakan. 'Sebening Kasih-Nya' adalah merupakan sebuah dokudrama yang bertemakan keagamaan dan diharap akan ditayangkan melalui kaca telivisyen sempena Hari Raya Aidiladha 2009 nanti.
Berikut ini, adalah sinopsis cerita dokudrama 'Sebening Kasih-Nya' yang telah saya tulis untuk pengetahuan awda;
Sejak dibangku sekolah, Amirul sudah mempelajari Islam sebagai salah satu mata pelajaraan yang diminatinya. Hubungannya dengan rakan-rakan beragama Islam telah banyak mempengaruhinya untuk mendalami tentang Islam. Dan minatnya ini bertambah lagi apabila Amirul berkawan dengan Amirah sejak setahun yang lalu. Mereka sering membuat temujanji di sebuah café dan peluang ini digunakan oleh Amirah bagi menunjuk ajar kepadanya mengenai Islam dan menghadiahkan buku-buku agama kepadanya.

Suatu hari, ketika mengunjungi sebuah komplek membeli-belah Amirul telah menemui seseorang sedang menjual batu-batu permata, buku-buku agama dan ayat-ayat suci Al-Quran. Amirul tertarik dengan salah satu ayat [surah al-fatihah] yang dibingkai cantik dan menanyakan makna ayat tersebut kepada si penjualnya. Amirul amat berminat dengan ayat tersebut menyebabkan si penjual dengan ikhlas hati menghadiahkan ayat itu secara percuma kepada Amirul. Dari peristiwa itu dan menyedari betapa besarnya fadilat yang ditunjukkan, menyebabkan Amirul terbuka hatinya untuk memeluk agama Islam.

Keputusannya hendak memeluk agama Islam menyebabkan hubungannya dengan ibunya tidak lagi akrab seperti dahulu. Ibunya masih belum dapat menerima Islam sebagai agama anutannya dan beranggapan hidupnya akan lebih mudah jika tetap berpegang kepada adat dan kepercayaan nenek-moyangnya. Walau bagaimanapun Amirul masih tetap mempunyai keyakinan, iaitu beriman kepada Allah.

Manakala Malik, salah seorang Pegawai Pentadbir di mana Amirul sedang bekerja turut mempunyai pengalaman hidupnya yang tersendiri. Sebelum ini Malik lebih suka hidup berfoya-foya dan bertukar-tukar teman wanita, antaranya Liza yang kadang-kala ditemaninya hingga ke salon, menyebabkan dia lupa akan tanggungjawabnya, apatah lagi dalam melaksanakan suruhan agama. Kini Malik sudah bertaubat dan memperbaiki keadaan hidupnya dan sekaligus mengingatkannya terhadap keluarganya (anak dan isteri). Malik juga berkawan rapat dengan Salleh, seorang Imam masjid di kampongnya.

Inilah kisah dua watak yang berbeza dalam dokudrama Sebening Kasih-Nya, namun memiliki satu persoalan yang sama iaitu bagaimanakah mereka memperolehi dan memperkuatkan keimanan itu ke dalam diri mereka. Malik juga berasa bersyukur apabila mendapat tahu Amirul sudah memeluk agama Islam dan mengajaknya agar membawanya berjumpa dengan si penjual ayat-ayat suci Al-Quran yang menghadiahkan ayat [surah al-Fatihah] dahulu. Namun ketika mereka sampai di bangunan komplek membeli-belah itu, si penjual ayat-ayat suci Al-Quran itu sudah tidak lagi berjaja di situ. Amirul berasa sangat hampa, kerana tidak seorangpun yang turut berjaja di sana mengetahui ke mana perginya si penjual ayat-ayat suci Al-Quran itu.

Ulasan