Berikut ialah petikan Laporan Panel Penilai Hadiah Kreatif Bahana 2009 yang berlangsung pada Hari Sabtu, 20 November yang lalu sebagai renungan bersama.

Penglibatan penulis dalam kalangan wanita masih di tahap yang rendah jika dibandingkan dengan penulis lelaki, walaupun ada, masih terikat dengan persoalan ruang lingkup perasaan kewanitaan mereka.

Dilihat pada tema yang digarap, didapati ada pelbagai tema yang diutarakan, seperti kekeluargaan, keagamaan, kemasyarakatan, kritikan sosial dan tidak kurang juga kisah cinta. Hal-hal yang mahu disampaikan penulis dalam kebanyakan cerpen adalah perkara lumrah dalam kehidupan seharian.

Sebahagiannya tentang pengalaman hidup yang pernah dilalui penulis seperti catatan perjalanan, kisah keperitan hidup suami isteri, kisah cinta terhalang, perceraian, nilai-nilai budaya iaitu tentang gotong-royong dan hidup berjiran, dan sebagainya.

Namun ada juga cerpen yang memerlukan pembaca berfikir. Ini adalah dengan kebijakan dan kreativiti penulis mengajak pembaca sama-sama berfikir untuk mencari apakah persoalan dan mesej yang ingin disampaikan penulis.

Semua ini adalah hasil kekuatan imajinasi dan kreativiti penulis membawa pembaca menikmati dan sekali gus berfikir untuk mencari apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh penulis.

Ulasan