Seminar, Bengkel dan Festival Pantun MASTERA 2010

Seminar, Bengkel dan Festival Pantun MASTERA 2010 adalah yang disepakati sebagai kegiatan MASTERA Brunei Darussalam yang diselanggarakan oleh MASTERA Brunei Darussalam dengan kerjasama MASTERA Indonesia dan MASTERA Malaysia.

Projek lintas budaya itu adalah usaha untuk mengekalkan warisan bangsa Melayu di Nusantara khususnya Pantun Melayu. Usaha itu juga dapat memperkaya khazanah Pantun Melayu di kalangan belia negara yang memberi peluang kepada pesertanya untuk menghadiri seminar sehari suntuk, diikuti dengan bengkel dan festival pantun di Daerah Temburong dan Daerah Belait.

Seminar telah berlangsung pada hari ini, Rabu 15 Disember 2010 di Balai Syarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka. Pemakalah seminar adalah terdiri daripada pakar-pakar pantun dari Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, dan Singapura, di antaranya ialah Prof. Madya Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid, Dr. Haji Morsidi bin Haji Muhamad, Awang Haji Mohd. Yassin bin Haji Hassan, Prof. Dr. Ayu Sutarto, Hajah Zaiton binti Haji Ajamain, dan Encik Mohamed bin Ashik.

Manakala bengkel akan diselanggarakan selama tiga hari yang bermula esok iaitu pada hari Khamis 16 Disember 2010 sehingga hari Sabtu 18 Disember di Daerah Temburong. Bengkel itu akan dihadiri oleh peserta-peserta dari negara pendiri MASTERA iaitu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia serta negara pemerhati, Singapura.

Bengkel itu akan diadakan dalam suasana damai di Kampong Senukoh, Daerah Temburong dengan bimbingan sarjana dan tokoh yang berpengalaman.

Manakala Festival Pantun Melayu yang merupakan acara kemuncak dari Seminar dan Bengkel Pantun MASTERA akan diisi dengan acara berbalas pantun antara negera peserta bengkel dan berjual beli pantun bersama jemputan yang hadir. Festival juga mempamerkan koleksi pantun dari setiap negara MASTERA yang sudah terbit.

Turut diadakan juga ialah peraduan mencipta pantun secara spontan, bermukun, berdondang sayang, berdendang dan lain-lain, serta berbalas pantun secara spontan antara seorang atau dua orang tokoh atau nara sumber yang merupakan pembeli pantun dengan khalayak yang merupakan penjual pantun.

Ulasan