Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Cerpen Kreatif Bahana DBP-BSP 2011

Majlis ini telah berlangsung kelmarin Sabtu 12 November 2011 di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka sempena sambutan Jubli Emas Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (1961-2011). Majlis ini turut diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Peraduan Menulis Rencana, Peraduan Mereka Bentuk Poster, Peraduan Menulis Kertas Cadangan Penyelidikan dan Pertandingan Blogspot Berbahasa Melayu yang kesemuanya mendapat sambutan yang sangat mengalakkan dari orang ramai.

Untuk catatan pada kali ini saya hanya tertarik untuk mengongsikan dua perkara mengenai Peraduan Menulis Cerpen Kreatif Bahana DBP-BSP 2011 ini, iaitu mengenai syarat peraduan dan mutu bahasa. 

Menurut laporan panel hakim peraduan, sebanyak 102 buah cerpen hasil daripada 87 orang penulis tempatan telah dinilai dari sudut tema, bahasa, kreativiti dan intelektual. Namun dari sisi lain hasil penelitian tersebut, kita juga berasa hairan apabila mendapati masih ada juga di kalangan penulis yang menghantar manuskrip mereka tidak seperti yang diharapkan, iaitu apabila panel hakim menyatakan sebanyak 21 buah manuskrip cerpen didapati tidak mengikuti syarat yang ditetapkan iaitu syarat No. 5 yang menyatakan manuskrip cerpen hendaklah ditaip jarak langkau dua baris pada sebelah muka surat kertas berukuran A4 sahaja.

Sungguhpun syarat tersebut kedengarannya agak terlalu mudah dan remeh, setiap penulis tidak sepatutnya mengabaikan perkara ini setiap kali menyertai peraduan. Syarat adalah sesuatu hal yang perlu kita keutamakan di samping kita mempunyai mutu penulisan yang memberangsangkan, dan sebaliknya jika kita tidak mematuhi syarat-syarat yang telah ditentukan, bermakna manuskrip kita itu dengan sendirinya tidak akan mendapat tempat untuk diteliti oleh panel hakim, apatah lagi untuk memenangi sesebuah peraduan yang disertai oleh lebih dari 100 buah manuskrip.

Begitu juga dari segi penggunaan bahasa, apabila panel hakim mendapati hampir semua cerpen terdapat kesilapan tatabahasa, atau kurang memahami sistem ejaan baru, terutama suku kata di dan ke serta penggunaan i, e, u, g, gg, k, dan kk. Kesilapan sebegini sudah setentunya menjejaskan mutu cerpen itu sendiri dan boleh saja mempengaruhi mood panel hakim. Sesetengah penulis terutama yang baharu mengorak langkah ke alam penulisan cerpen, juga masih belum mampu menguasai bahasa dengan baik, sama ada dari segi ejaan, penggunaan tanda baca, struktur, dan penggunaan ayat.

Walau bagaimanapun saya ucapkan tahniah kepada mereka yang telah terpilih memenangi hadiah, dan juga kepada semua penulis yang telah menyertai peraduan tersebut, kerana telah memperlihatkan pertanda positif  terhadap dunia penulisan tanah air yang kita cintai ini.

Ulasan