Empat buku panduan penulisan kreatif.

Apabila seseorang itu berniat mahu menjadi seorang penulis kreatif, satu hal yang perlu ada dalam hatinya ialah belajar. Begitu juga dalam soal mempelajari serba-serbi penulisan kreatif, kita perlu mempunyai pengetahuan asas yang berkaitan, misalnya dalam penghasilan puisi, cerpen dan novel. 

Sejak mengadakan bimbingan menulis melalui blog ini, saya dapati puisi, cerpen dan naskah novel yang sampai ke tangan saya mempunyai kelemahan dan kekurangan yang hampir serupa, baik dari aspek teknik atau format penaipan, mahupun dari aspek teknik penciptaan karya itu sendiri.

Kelemahan dan kekurangan itu paling ketara sekali di kalangan bakat baru yang ingin mencuba nasib dalam bidang penulisan kreatif. Oleh yang demikian, untuk catatan saya pada kali ini, saya cuba mengongsikan empat buah judul buku panduan penulisan kreatif yang saya rasa perlu dibaca oleh calon penulis bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.

1. Pengalaman Puisi oleh Muhammad Haji Salleh (DBP, Kuala Lumpur; 2005). Buku ini khusus bagi mereka yang mahu mempelajari puisi yang merupakan teras sastera tradisional dan moden. Pada ramai pembaca, genre ini dianggap 'susah'. Dengan berlatarbelakangkan pengalaman menulis dan mengajar puisi selama lebih empat puluh tahun, melalui buku ini penulis cuba membantu kita menghuraikan sudut-sudut 'susah' tersebut, dan membawa kita ke ruang istemewanya. 

Beliau memulakan dengan sejumlah istilah tradisional Melayu dan Barat dan cuba melihat konsep puisi dalam kata-katanya. Setelah itu, struktur bentuk ini serta bahasanya dikaji, berserta contoh daripada puisi yang baik. Tema dilihat sebagai sumbangan fikiran dan renungan penyair kepada pemikiran bersama.

Tiga bab terakhir buku ini membawa pembaca kepada ciri-ciri puisi yang baik dan saranan bagaimana untuk menulis puisi, serta cara-cara yang betul menurunkan maklumat dan sebagainya.

2. Penulisan Cerpen: Visi dan Langgam oleh Othman Puteh (DBP, Kuala Lumpur; 1993) merupakan huraian beberapa fenomena tentang gambaran realiti masyarakat, di samping unsur-unsur dan langgam dalam penulisan cerpen. 

Buku ini diharapkan berupaya mendorong seseorang menjadi pengarang, kerana cabaran dan saingan dalam bidang penulisan kreatif semakin hebat disebabkan wujudnya saingan baru yang menuntut setiap pengarang berada dalam situasi serba lengkap sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat.

3. Persediaan Menulis Novel oleh Othman Puteh (DBP, Kuala Lumpur; 1992). Menerusi buku ini pengarang cuba membantu kita untuk memahami dan menghayati karya novel, dan di samping itu, membantu kita untuk mengorak langkah dalam menghasilkan novel. 

Segalanya tertulis berdasarkan teori dan pengalaman pengarang mengarang dan mengajar selama puluhan tahun dalam bidang ini.

4. Landas Kreativiti Penulisan Cerpen oleh Othman Puteh (DBP, Kuala Lumpur; 1997). Buku ini adalah merupakan lanjutan daripada buku Persediaan Menulis Novel oleh pengarang yang sama, yang menekankan aspek teknikal dan kreativiti dalam menghasilkan cerpen yang lebih terancang, lebih menarik-memukau, dan lebih bermutu. 

Hal-hal yang dibincangkan termasuklah mempelbagaikan bahan cerita, persediaan menulis cerpen, perancangan dan penciptaan watak, pembaharuan cerpen, dan bentuk-bentuk cerpen seperti autobiografi, biografi, satira, dan parodi.

Saya harap keempat-empat buah buku di atas akan dapat menjadi panduan yang amat berfaedah bagi calon penulis atau penulis muda kita di Brunei ini. Walau bagaimanapun, peminat dan pencinta sastera umum juga boleh memanfaatkannya untuk lebih mengetahui dan mendalami tentang aspek penulisan kreatif.

Ulasan