Isu Rasuah dalam 'Selamat Harijadi Mona...'

Selamat Harijadi Mona adalah sebuah skrip Drama TV Khas sempena 30 Tahun Biro Mencegah Rasuah yang telah saya tulis atas permintaan Biro Mencegah Rasuah dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei. Drama ini telah disiarkan pada tahun 2012 yang lalu, dan telah mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan penonton tempatan kita di sini.

Oleh kerana drama ini melibatkan dua buah jabatan kerajaan yang bertanggungjawab di dalam menyebarluaskan isu-isu berkenaan dengan keselamatan dan kesejahteraan hidup bermasyarakat di negara ini, sebagai seorang penulis skrip saya telah mengambil beberapa inisiatif bagi melaksanakan sebuah skrip yang menepati kehendak penerbit, dan dapat ditampilkan ke dalam skrin.

Antaranya ialah dengan mendengar dan membaca kes-kes yang pernah terjadi, serta membuat penyelidikan mengenai isu-isu yang berkaitan, (dalam kontek ini ialah bagaimana rasuah itu boleh berlaku) sehingga ianya merosakkan seseorang individu atau ahli di dalam sesebuah keluarga, atau sesebuah masyarakat, bahkan sesebuah negara.

Drama ini melibatkan beberapa orang pelakun yang tidak asing lagi bagi penonton kita di sini, di antaranya ialah Dato Jalaludin Hassan (Malaysia), dan pelakun-pelakun tempatan - Md Hassanol Irshad Haji Junaidi, Mimi Rahzia, Amal Nazurah Sejeli, Shahminan Haji Md Yassin, Airniemelati Haji Ahmad, Haji Suhaili Haji Hidup, dan Nur Unaizah Haji Ismail di bawah arahan Hajah Jauyah Haji Chuchu.

----------------------------------------------------

SINOPSIS: Bakar adalah seorang pengamal rasuah, namun dalam beberapa kes pihak Biro Mencegah Rasuah masih tidak dapat membuktikan keterlibatannya, sehingga dia masih terlepas dari menerima hukuman.

Walau bagaimanapun kehadiran Malik dan teman wanitanya, Fiezah menyebabkan Bakar menjadi semakin berani. Malik muncul dengan menawarkan hadiah/sogokan/perkhidmatan yang lebih menarik jika Bakar mahu membantunya meluluskan permohonan-permohonan tender bagi syarikatnya yang sudah pun menjalinkan usahasama dengan syarikat Encik Murad yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, Malaysia.

Encik Murad ialah seorang usahawan yang bercita-cita tinggi, dan berminat untuk mendapatkan tawaran bagi projek menaik taraf bangunan milik kerajaan di negara ini secara sah. Oleh sebab itu Encik Murad menaruh kepercayaan kepada rakan usahasamanya, Malik untuk mendapatkan tawaran tersebut berpandukan syarat-syarat permohonan yang telah ditetapkan.

Walau bagaimanapun, Malik lebih suka menggunakan jalan mudah, iaitu dengan merasuah rakan baiknya, Bakar yang bekerja di sebuah jabatan yang bertanggungjawab memproses dan meluluskan permohonan-permohonan tender bagi projek kerajaan. Manakala Bakar yang memang mudah terpengaruh dengan Malik, di samping desakan hidup yang ditanggung terhadap isteri dan anaknya, seperti biasa menerima tawaran Malik dengan memberikan sokongan tanpa memikirkan akibatnya.

Keadaan ini telah menarik minat pihak Biro Mencegah Rasuah untuk membuka semula penyiasatan terhadap kegiatan Bakar. Bakar yang sejak dahulu dalam perhatian mereka kini jelas lebih berani dari yang disangkakan sebelumnya. Bakar tidak dapat mengelak dari mempunyai hubungan dan kepentingan peribadi yang sangat rapat dengan beberapa individu yang mempunyai urusan dengannya, terutama dengan syarikat yang dimiliki oleh Malik.

Oleh sebab itu, Encik Murad berasa hairan apabila mengetahui syarikat usahasama mereka sudahpun mendapat tawaran projek menaik taraf bangunan kerajaan itu dengan sebegitu mudah. Tambahan lagi ketika dia membuat lawatan ke tapak projek tersebut, Bakar sudah mula meminta ganjaran darinya sebagai membalas budi yang telah diberikan kepada syarikat mereka.

Apabila diselidiki dengan sebaik-baiknya, Encik Murad menyedari dia telah ditipu oleh Malik. Encik Murad juga berasa tidak senang hati dengan cara Bakar menggunakan kuasanya dan memberikan keistimewaan kepada syarikat mereka. Oleh sebab itu Encik Murad pun berjanji untuk menunaikan permintaan Bakar, dan secara diam-diam melaporkan perbuatan Malik dan Bakar kepada pihak Biro Mencegah Rasuah tanpa memikirkan keuntungan yang seharusnya dimiliki oleh syarikatnya.

Akhirnya, berdasarkan bukti-bukti dan kerjasama yang diberikan oleh Encik Murad, pihak Biro Mencegah Rasuah telah berjaya menangkap Malik dan Bakar. Ketika itu mereka sedang berada di rumah Bakar, dan meraikan majlis harijadi isterinya, Mona. Keriangan isteri dan anaknya, Ezah tiba-tiba bertukar menjadi suram. Bakar ternyata gagal menunaikan tanggungjawabnya.

p. s. jika anda ingin mendapatkan skrip penuh untuk drama ini sila hubungi penulis

Ulasan