Peraduan Menulis Esei Sastera dan Cerpen Bahana DBP 2014

Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Esei Sastera dan Cerpen Bahana DBP 2014 telah berlangsung semalam, hari Jumaat 19 Disember bertempat di Sutra Hall, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, Bandar Seri Begawan.  Peraduan ini adalah merupakan satu projek tahunan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dalam memperkembangkan, memartabatkan dan memperkasa penggunaan, pemakaian dan penyelarasan bahasa Melayu di negara ini.

Selain dari itu, peraduan ini juga telah membuka ruang dan peluang kepada para penulis lama dan bakat baru untuk memantapkan dan mempelbagaikan kreativiti penulisan mereka dalam mencetuskan daya saing yang sihat, dan pemikiran yang tinggi mutunya dengan nilai penulisan yang semakin meningkat serta menghasilkan kepelbagaian aliran, teknik serta gaya bahasa yang memperlihatkan keindahan dalam sesebuah karya seni sastera.

Sebanyak 31 buah esei daripada 25 orang penulis, dan 40 buah cerpen daripada 27 orang penulis telah diterima bagi mengikuti peraduan tersebut dan Panel Hakim telah memberikan tiga buah esei dan tiga buah cerpen sebagai Hadiah Penghormatan, manakala lima buah esei dan lima buah cerpen lagi telah dipilih untuk diberi sebagai Hadiah Penghargaan di dalam majlis ini.

Mereka yang telah memenangi Hadiah Penghormatan bagi Peraduan Menulis Esei Sastera ialah Dayang Athiah binti Haji Badar dengan tajuk esei Teori Eko - Kritik Suatu Pengenalan sebagai penerima Hadiah Penghormatan Pertama, Dayang Hajah Masernizan binti Haji Mahmud dengan tajuk esei Hikayat Raja Bungsu Dewa Putera Haripan: sebuah karya Panji Brunei sebagai penerima Hadiah Penghormatan Kedua, dan Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak dengan tajuk esei Pemikiran Satira dalam Cerpen "Yang Gugur dan Yang Tidur" sebagai penerima Hadiah Penghormatan Ketiga.

Manakala dalam Peraduan Menulis Cerpen Bahana pula telah dimenangi oleh Awang Haji Mohd. Firdaus bin OKK Haji Nordin dengan tajuk cerpen Al-Munawwarah sebagai penerima Hadiah Penghormatan Pertama, Dayang Rohana binti Haji Ismail dengan tajuk cerpen Mutiara di Pinggir Hati sebagai penerima Hadiah Penghormatan Kedua, dan Dayang Nur Syahirah Hamizah binti Haji Jaini dengan tajuk cerpen Saifullah sebagai penerima Hadiah Penghormatan Ketiga.

Ulasan