Ruangan Cerpen dalam Pelita Brunei dan Arah Tujunya

Sebagai sebuah akhbar rasmi kerajaan, Pelita Brunei adalah media yang sangat berpengaruh di hati masyarakat kita sejak ia terbit beberapa dekad yang lalu. Sehingga sekarang, kita masih sahaja beruntung kerana ruangan cerpen masih dimuatkan ke dalam akhbar itu misalnya, dan sedikit sebanyak telah memberi ruang kepada para penulis tanah air sehingga kita dapat mengenal beberapa orang penulis seperti Maya Brunei atau Haji Jamaluddin Aspar, Mardiah Haji Abdul Gapar, Omeyad, Nurul Husna atau Nurul Husna binti Mohd. Ali, Dhia Faaezah, Eddy, Yatim Budiman, M. A. Rahman, Meesannisaa dan lain-lainnya. Namun kita masih berasa terkilan kerana ruangan itu kini kelihatannya masih sahaja 'hidup segan mati tak mahu' dan tanpa arah tuju yang jelas dalam membantu mengembangmajukan kesusasteraan Melayu kita di negara ini.

Beberapa tahun yang lalu (bahkan, sejak beberapa dekad yang lalu) ruangan cerpen (puisi, artikel, rencana atau esei sastera) dalam Pelita Brunei dilihat sebagai sesuatu yang sangat memberangsangkan sekali. Terutama bagi para penulis yang sangat kuat minatnya dalam memperjuangkan kehidupan seni sastera tanah air; sehingga pihak penerbit tidak lagi berasa ragu-ragu untuk memberi dorongan kepada mereka. Misalannya dalam Kata Aluan penerbit dalam salah sebuah koleksi-koleksi cerpen dalam Pelita Brunei yang telah diterbitkan seperti berikut, "Penerbitan ini adalah merupakan usaha berterusan jabatan bagi mengumpul karya-karya cerpen yang terpilih. Pengumpulan ini juga [adalah merupakan] sebagai usaha jabatan untuk menghargai sumbangan penulis kepada perkembangan kesusasteraan tanah air terutamanya penulis-penulis cerpen.

Di samping itu ia juga merupakan hasil daripada beberapa maklum balas yang diterima dari para peminat dan pembaca cerpen di Pelita Brunei yang mana mengesyorkan supaya ada usaha jabatan ini ke arah mengumpul cerpen-cerpen yang terpilih untuk dijadikan sebuah buku yang akan memberi manafaat yang baik kepada para pembaca dan peminat amnya dan para pengkaji sastera tanah air mengenai perkembangan dan kemajuan kesusasteraan yang dihasilkan oleh penulis tempatan khususnya." [...]

"Bagaimanapun, dalam masa yang sama pihak penerbit sangat mengalu-alukan pandangan yang telah disalurkan. Pihak penerbit percaya penerbitan Koleksi Cerpen Pilihan Dalam Pelita Brunei dapat merangsang lagi semangat para penulis tanah air ke arah menghasilkan hasil karya yang bermutu dan secara langsung pihak penerbit juga percaya ia dapat membantu supaya karya sastera tanah air menjadi kumpulan sumber bahan penyelidikan kepada penyelidik-penyelidik sastera di masa-masa akan datang." Koleksi Cerpen Pilihan dalam Pelita Brunei - Jerangkap. Bandar Seri Begawan: Jabatan Penerangan 2002. hlm. v-vi

Ulasan