Kamus Puisi dan gunanya pada penulis

Sesebuah buku kamus puisi mengandungi begitu banyak istilah misteri dan bentuk seni. Biasanya ia disusun khas untuk para pelajar dan juga bagi mereka yang ingin meningkatkan kemahiran dalam penulisan kreatif, atau seseorang yang hanya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai seni puisi yang nantinya akan dapat membantu akal kita mengenai dengan terma-terma dan jenis-jenis puisi.

Buku Kamus Puisi - Siri Kamus Istilah MABBIM terbitan DBP, Kuala Lumpur 2005 adalah di antara yang terbaik untuk tujuan itu. Kamus ini mengandungi sebanyak 445 istilah berserta huraiannya yang telah disediakan oleh pakar-pakar yang mahir dalam bidang berkenaan. Pemilihan istilah masukan kamus ini adalah berdasarkan keperluan para pelajar di institusi pengajian tinggi, pengajar, pengamal dalam bidang puisi serta pengguna lain yang terlibat.

Oleh itu, buku kamus ini diharapkan dapat dijadikan wadah meningkatkan kefahaman kita sebagai penulis dalam bidang kesusasteraan amnya, dan bidang puisi khususnya.

Misalnya, melalui buku kamus ini kita akan menemui satu istilah yang dipanggil kit’ah yang bermaksud; Puisi yang berkembang dalam kesusasteraan Arab-Parsi. Dalam unsur Arab kit’ah bermakna berkerat-kerat, terputus-putus atau berpatah-patah. Lazimnya bentuk kit’ah ini tidak dikongkong oleh sesuatu ikatan sama ada pola, irama mahupun rima. Tema dan persoalan yang diungkapkan dalam baris-baris kit’ah ini berkisar pada nasihat atau panduan hidup masyarakat. Bentuk kit’ah ini dapat dilihat pada contoh yang dipetik daripada buku Harun Mat Piah, Puisi Melayu Tradisional, Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi.

Jikalau kulihat dalam tanah pada ehwal
                sekalian insan,
Tiadalah kudapat bezakan pada antara
                rakyat dan sultan,
Fana juga sekalian yang ada, dengarkan yang
Allah berfirman.
                Kullu manalaihi fanin, iaitu;
Barangsiapa yang di atas bumi itu lenyap jua.

Ulasan