Seperti apakah Sastera Melayu Brunei itu.

Seseorang telah menghantar emel dan bertanya - seperti apakah sastera Melayu Brunei itu, kerana selama menjadi tenaga pengajar di negara ini dia cuma dipilih untuk mengajar bahasa dan kesusasteraan Arab sahaja, atau bahasa dan kesusasteraan Inggeris sahaja, atau yang lain-lainnya; sedangkan sastera Melayu Brunei cuma diperkenalkan dalam skala yang amat sedikit dan cukup sebagai perbandingan dan contoh dalam pengajarannya - dan pertanyaan ini muncul apabila dia sendiri menghadapi masalah untuk memahami setelah diminta untuk menulis sebuah kajian kursus sastera bandingan mengenai sastera Melayu Brunei itu dengan bahasa dan kesusasteraan yang dia ajarkan selama ini.

Untuk beberapa hari, pertanyaan itu saya biarkan begitu sahaja sehinggalah saya teringat tentang dua buah buku yang ditulis oleh Yahya M. S. iaitu, Asas-Asas Kritik Sastera (DBP, Brunei: 1983) dan Menghayati Sastera Islam Abad Ke-21 (DBP, Brunei: 1998). Kedua-dua buah buku ini mengandungi banyak artikel yang berisi pemikiran tentang konsep sastera Melayu Brunei itu sendiri, khususnya Islam dan beberapa idea lain yang berkaitan.

Melalui buku Asas-Asas Kritik Sastera yang mengandungi artikel-artikel yang ditulis dalam tahun 1964 hingga 1974, Yahya M. S. telah cuba membuat satu tinjauan dan menyingkap masalah-masalah dan penyelesaian dari pertanyaan - seperti apakah sastera Melayu Brunei itu, melalui genre-genre sastera yang ada di negara ini, seperti puisi, prosa, drama dan kritik.

Melalui buku itu juga kita akan dapat mengenal dan mengukur kemajuan dan perkembangan kesusasteraan Melayu kita di negara ini; setelah mengetahui apakah kekurangan yang ada dan yang perlu untuk kita perkembangkan.

Manakala buku Menghayati Sastera Islam Abad Ke-21 pula adalah sebuah buku yang mengandungi artikel-artikel Yahya M. S. yang ditulis dari tahun 1980 hingga 1994. Sebagai seorang intelek Islam yang juga aktif menulis dalam bidang sastera Melayu, Yahya M. S. mempunyai gagasan dan idea yang tersendiri mengenai konsep sastera Islam di negara ini, iaitu menerusi perundangan perlembagaan yang bermula pada tahun 1953 dan falsafah Melayu-Islam-Beraja, di samping memperkatakan teori-teori dari Barat dalam membuat analisa sesebuah karya yang berkaitan.

Ada banyak lagi buku dari penulis tempatan kita yang boleh menjawab pertanyaan - seperti apakah sastera Melayu Brunei itu sebenarnya, dan kita juga tidak kurang mempunyai pakar dan ahli akademik dalam sastera, dan penulis yang boleh menjelaskan pertanyaan seperti ini. Tinggal lagi kita perlulah berusaha mencari, mengenal, dan mendekatkan diri kita dengan sumber atau individu yang kita kenali dalam bidang ini sebaiknya.

Ulasan