Retrospektif - Apabila Haji Mariat Haji Abdullah Menulis

Saya tiba-tiba teringat mengenai sebuah ulasan cerpen yang ditulis oleh Haji Mariat Haji Abdullah yang berjudul Ulasan cerpen bertajuk Ibu tulisan Puasha di ruangan Sastera dan Budaya - Pelita Brunei, Aneka 16 Ogos, 2000 terbitan Jabatan Penerangan, iaitu kira-kira tujuh belas tahun yang lalu.

Saya tahu, pada waktu itu karya saya tidak banyak diberi perhatian dari pembaca, penulis, pengkritik, dan pengkaji sastera kita di sini - apatah lagi menerima satu kajian dari mahasiswa/i kita yang belajar di universiti.

Apabila Haji Mariat menulis; “Cerpen yang menarik perhatian saya untuk diulas kali ini bertajuk Ibu tulisan Puasha yang tersiar di akhbar rasmi kerajaan Pelita Brunei keluaran yang bertarikh 3 Mei, 2000”, saya mula percaya bahawa penulis muda seperti saya (dan awda juga) masih mempunyai keberuntungan untuk terus berkarya dengan lebih jauh.

Nah, sekarang saya juga sudah dapat melihat begitu banyak penulis muda kita tampil ke hadapan. Karya mereka sudah tentu jauh lebih berbeza dengan karya kita satu, dua atau tiga dekad yang lalu, sehingga penulis seperti kita berasa sangat bangga dengan gaya atau tema yang dibawakan kerana kita sudah berada di zaman teknologi, informasi, dan komunikasi yang begitu canggih.

Tidak sedikit, cara dan pola berfikir dan berkarya mereka juga sudah tentunya jauh berubah sesuai dengan kecanggihan yang ada. Cerpen Ibu (Pelita Brunei: 2000, Kumpulan Cerpen Cetera Merdeka: 2010) mendapat respon yang baik dari Haji Mariat Haji Abdullah di antaranya adalah kerana cerpen ini berdiri atas tema ‘kasih sayang anak dan ibu kandung yang sekian lama terpisah’.

Namun, apakah tema ini masih sesuai dengan cara dan pola fikir dalam karya penulis muda kita sekarang?

Dan seterusnya Haji Mariat Haji Abdullah menulis, “… Puasha adalah penulis yang rajin berkarya, justeru selagi masih banyak bahan yang boleh diimaginasikan, tulislah atau ketiklah taip ataupun computer untuk berkarya ke sekian lainnya demi masyarakat serta kepuasan diri. Kritik pada sesebuah karya itu adalah suatu ilmu, maka terimalah ia sebagai penggalak meskipun barangkali ada yang boleh menyebabkan ketidaksenangan hati.”

Ulasan