3 Kelompok dan Khalayak Pembaca yang Perlu Kita Ketahui.

Khalayak pembaca terdiri daripada beberapa kumpulan yang mempunyai pelbagai tahap pencapaian dan kecenderungan. Jakob Sumardjo (1995) menjelaskan hasil penelitian Kimman yang melakukan penyelidikan di Indonesia dan mendapati kelompok pembaca boleh dikategorikan kepada dua golongan.

Golongan pertama ialah pembaca pemburu informasi iaitu mereka yang sering membaca surat khabar, majalah, buku, menonton televisyen dan mendengar radio pada waktu berita disiarkan untuk memperolehi maklumat terkini.

Golongan kedua ialah pembaca majoriti yang hauskan hiburan. Kelompok ini bukan pembaca yang sebenarnya kerana mereka lebih suka menonton televisyen, mendengar lagu dan sandiwara dari radio, menonton filem, menonton sandiwara rakyat dan sebagainya untuk mendapatkan hiburan semata-mata.

Seterusnya, beliau mengkategorikan pembaca secara khusus kepada tiga kelompok iaitu pembaca serius, pembaca hiburan dan pembaca tradisional. Pertama, pembaca serius ialah mereka yang memerlukan informasi dan meliputi pembaca yang beraneka ragam minatnya. Mereka terdiri daripada kaum yang terdidik, berpelajaran tinggi, cendekiawan yang rata-rata mampu belajar sendiri dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat.

Untuk membina apresiasi seni kelompok pembaca ini memerlukan karya sastera yang mempunyai daya keintelektualan yang sarat dengan pemikiran. Kelompok ini cukup berpotensi dan sanggup membeli buku dengan harga mahal asalkan dapat memenuhi kehendak dan keperluannya.

Kedua, pembaca hiburan merupakan majoriti terbesar dalam masyarakat Indonesia. Kelompok pembaca ini pada dasarnya masih hidup dengan kebudayaan lisan. Kepentingan mereka adalah untuk mencari hiburan di waktu senggang dan kadangkala sahaja membaca buku.  Mereka tidak boleh diharap sebagai pembaca yang mendukung mekanisme penerbitan.

Inilah sebabnya pembaca dalam kelompok ini seperti tenggelam timbul. Sebenarnya kelompok pembaca ini merupakan lanjutan daripada 'tradisi' hiburan masa lampau. Sebagai pendukung seni mereka amat memerlukan hiburan yang berupa bacaan seperti majalah popular, novel popular, dan komik. Oleh itu, golongan ini bukan pembaca berpotensi tinggi yang dapat menunjang pembangunan kebudayaan, tetapi merupakan pendukung kebudayaan yang saling berganti dari setiap generasi ke generasi seterusnya.

Ketiga, pembaca tradisional iaitu kelompok yang sudah tidak memperdulikan lagi nilai dan estetika sastera klasik. Mereka membaca bukan untuk mengapresiasi dan menikmati keindahan Bahasa, tetapi lebih kepada ajaran moral dan mistik. Sebenarnya kelompok ini merupakan pembaca yang memerlukan informasi yang tergolong sebagai pembaca sastera serius dalam konteks sastera moden.

Dipetik dari Jumali Selamat, 2012. Sejarah Perkembangan Novel Remaja di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 142-143

Ulasan