Selamat Tahun Baru 2024 Masihi

Sudah menjadi tradisi dalam kalangan orang kita menyambut tahun baru dengan berbagai cara. Tapi sebagai seorang penulis, kita sudah tentu akan bermula dengan suatu cara yang sering dikatakan orang sangat mudah - seperti menulis sebuah nota dan catatan.

Akan tetapi tidak ramai yang boleh menulis sebuah puisi atau sajak yang mempunyai suatu tujuan untuk membentuk pemikiran dan tabiat masyarakat kita di dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Tahun Baru bagi saya, sebenarnya sudah mula dirasakan pada bulan Disember tahun lepas, apabila ramai orang meninggalkan tempat kerja mereka lalu pergi bercuti keluar negeri atau membuat persediaan tertentu.

Apabila ini berlaku, pejabat akan menjadi sunyi dan hanya beberapa orang sahaja yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Jika tidak ada yang perlu dibuat, mereka yang menunggu di pejabat ini hanya mampu bersosial di talian facebook, dan yang seumpamanya.

Sepuluh tahun yang lalu, kita sudah menulis sebuah puisi yang mempersoalkan ‘fenomena akhir tahun dan tahun baru’ yang telah saya katakan tadi melalui puisi di bawah ini, dan telah terbit di dalam buku Kumpulan Puisi Sandiwara terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, 2014.

Di Opis #04

Tidak ada siapa-siapa di sini, ketika ini
hanya ada kerusi, meja, komputer dan facebook
kerana di penghujung tahun; bulan Disember
semua orang sudah mulai menghilang
dan meninggalkan bayang
katanya, “Mahu berangkat ke luar negeri.
Ber-shopping sementara wang masih banyak!”

17 Disember 2013
Kota Batu

Ulasan