Baca Cerpen - M oleh Puasha

Ini telah
mengubah rutin hidup mereka sehari-hari, dan kebanyakan penduduk lebih selesa
diam di rumah dan pekarja awam hampir tidak ada yang mahu pergi bekerja lagi.
Semua bangunan kedai yang selalu dikunjungi oleh penduduk di sekitarnya mulai menjadi
sunyi, dan hampir tidak ada orang yang mahu berada di sana.
Aku berdiri lama
di tebing sungai yang airnya berubah menjadi kehitaman, dan mengalir malas
menuju ke muara; bersama bahan buangan, atau sampah yang dibuang tanpa peduli
kesannya pada alam sekitar. Tentu saja menjadi sebab taraf kesihatan penduduk di
daerah ini semakin merosot kerana sudah mula dijangkiti wabak dan virus; yang sehingga
sekarang belum ada penawarnya. Menurut media semasa, sudah ramai yang menjalani
rawatan, lalu semuanya menerima nasib yang berakhir dengan kematian.
Daerah ini seolah-olah
sudah tidak lagi dapat diurus dengan sewajarnya, dan semua ketua bandar dan desa
hanya mampu berserah pada Nasib; setelah tidak mencapai kata sepakat. Begitu
juga para anggota keamanan yang jelas menjadi sasaran, dan ramai yang menjadi
korban mahkluk aneh yang dikatakan berkepala anjing dan mempunyai tenaga yang luar
biasa untuk dilawan.
Ada orang yang
mengatakan, makhluk itu adalah anjing-anjing jadian yang menyerupai tubuh
manusia dan memiliki tenaga mutan hasil kesalahan kerja-kerja makmal, dan pihak
yang menjalankan kajian itu sepatutnya bertanggungjawab dan dihukum atas
kelalian mereka. “Jangan sampai tertidur, nanti mereka dapat menghidu di mana keberadaan
kita,” kataku pada rakan yang sering saja mengantuk dan mulutnya menguap lemah.
Dia hampir saja mahu mengalah dan berputus asa di sepanjang operasi buruan yang
sedang kami lakukan.
“Sudah beberapa
bulan, kita masih gagal menjejak mereka,” katanya, sambil mengenggam kemas
sepucuk pistol di tapak tangan kanannya. “Lebih baik kita tinggalkan saja tempat ini.”
“Tidak!” Aku mula berasa curiga
dengannya. “Kita tidak mempunyai masa untuk menunggu lagi, dan kita mesti
halang mereka walau seburuk mana pun keadaannya.”
“Atau, kau juga akan menemui ajalmu
di sini,” katanya, seolah putus harap dan berkali-kali melihat telepon
pintarnya. “Kita sudah hilang perkhidmatan telepon, internet, dan siaran-siaran
yang lain. Misi ini semakin sukar
untuk kita tanpa aplikasi penghantar mesej.”
Apa pun, aku tetap dengan pendirian
ini dan kata-katanya tidak sekali-kali mengubah semangatku untuk terus berjuang.
Kami berpisah setelah beberapa kali melalui pertengkaran, aku tidak tahu ke
mana dia dan rasa curigaku semakin bertambah kepadanya. Sekalipun dia adalah
rakan sejak misi ini bermula, aku tetap tidak akan lupa bahawa ada kalanya mereka
juga boleh berbuat khianat kepada kita, dan sering memberi alasan yang tidak
munasabah kepada misi pasukan.
Kami sudah berada selama beberapa bulan
dalam misi ini, namun masih tidak mengenal di antara satu sama lain secara
total, dan siapa yang mengetuai misi ini secara sah. Masing-masing dengan tugas
dan arahan yang tidak boleh dibuka pada anggota lain; memang sulit untuk
dikatakan kepada sesiapa pun.
Aku terus menatap nota yang tertulis
di kertas, cukup ringkas, dan cuma tertera huruf M yang sehingga sekarang belum
aku temui di mana-mananya. Apakah huruf M bermaksud Military atau ada
makna lain yang menjadi kod dan target kami dalam misi ini. “Leftenan, sudah
hampir malam, kita mesti bergerak sekarang,” kata seorang rakan yang baharu
saja menemui ku di tebing sungai ini; sesudah beberapa jam lamanya menunggu.
“Leftenan,
tunggu apa lagi. Kita sudah hilang ramai keanggotaan,” kali ini suaranya
bergetar, dan sangat bersedih. “Tunggu apa lagi.”
Aku menatap nota
yang tertulis di kertas, namun fikiranku masih tebal dengan kabus yang meliputi
daya dan usahaku untuk mencari identiti mereka yang sebenarnya. Kudengar dari
kejauhan suara anjing terus menyalak dan melolong, seolah ada yang menganggu
pandangan mereka, atau berupa syarat bahawa kawasan yang kudiami sekarang sudah
tidak selamat untuk kami bersembunyi dan lari dari makhluk-makhluk aneh itu.
Jumlah mereka dilaporkan semakin bertambah setiap kali menemui mangsa baharu; lalu
virus yang dibawa akan berjangkit dan mengubah mangsa mereka menjadi makhluk
aneh yang ganas dan merbahaya.
“Kau dengar suara itu,” katanya
lagi. “Itu semua suara-suara mangsa yang berkepala anjing.”
Aku segera menoleh kepadanya, dan
memberi isyarat diam dengan menganggat jari telunjuk ke depan bibirku. Untuk
beberapa waktu, suara-suara salakan dan lolongan anjing itu sudah tidak
kedengaran lagi. Kami saling berpandangan sesama sendiri, duduk diam di sebuah lantai
bilik bangunan yang tersembunyi, dan tidak jauh dari tebing sungai yang
kukunjungi pada siang kelmarin. Bau air sungai
yang menghitam bersama sisa buangan dan sampah masih saja dapat dicium. Malam
semakin larut dan bertambah gelap, suara-suara salakan dan lolongan itu akan lebih
menakutkan untuk mereka yang lemah dan tidak mempunyai semangat.
“Pakai jaketmu, sekarang. Jangan
jadi malas!” Kataku. “Ini sudah pasti dari kegagalan kerja-kerja virus makmal, dan
sekumpulan orang yang tidak bertanggungjawab, sehingga mereka menciptakan versi
manusia yang berubah menjadi pemalas dan mewujudkan makhluk-makhluk aneh, ganas
dan merbahaya. Sudah ramai dari kalangan mangsa yang dijangkiti virus itu di seluruh
daerah kita sekarang.”
“Leftenan,
apakah itu Virus Malas,” rakanku mula bertanya, dan seakan-akan berbisik. Seolah-olah
tidak percaya bahawa virus itu sudah tular jauh dalam fikiran dan jiwa
masyarakat kita. Sebentar kemudian, dia pun tersenyum, dan kami hampir lupa
dengan situasi yang menyelubungi di daerah ini. Kami hampir lupa, malam semakin
jauh dan sudah menghampiri pada waktu subuh.
“Tolong, pandu
perlahan,” perintahku, sebaik sahaja kami menghampiri sebuah kawasan di tengah
pekan. “Dan, jangan sekali-kali pasang lampu.”
Kami bernasib
baik, kerana kereta SUV yang kami gunakan sangat sesuai untuk dipandu dengan perlahan,
dan enjinnya tidak mengeluarkan bunyi yang mungkin menarik perhatian sesiapa
saja yang ada di sepanjang jalan yang kami lalui, terutama mahkluk-mahkluk aneh
yang sentiasa mengintai mangsa mereka.
Dari jauh, kami
kembali mendengar suara-suara salakan dan lolongan anjing, malah semakin
menyeramkan. Ada suara orang berteriak-teriak meminta tolong dan menangis,
sehingga rakanku tiba-tiba sahaja menekan minyak kereta SUV yang dipandu untuk
cepat-cepat menghindari dari suara-suara itu. Dia kelihatan cemas, dan wajahnya
sangat pucat sebaik saja dia memandangku dengan sepasang mata yang hampir tidak
mempunyai sinar cahaya lagi. Dan, suara-suara salakan dan lolongan anjing itu semakin
lama semakin mendekat, bersama suara orang berteriak-teriak meminta tolong dan
menangis.
Sangat jelas,
ini bukan lagi sebuah ilusi yang menganggu misi pasukan kami selama ini,
rakanku tiba-tiba berhenti dari pemanduannya, lalu keluar melarikan diri di tengah
kegelapan malam subuh yang mencemaskan. Sebentar kemudian, dari tengah-tengah keriuhan
suara yang menyeramkan itu, muncul beberapa orang lelaki berpakaian seragam
hitam, menyerupai misi military dan bersenjata mesin, melangkah ke depan kereta
SUV kami, semuanya dalam keadaan wajah yang pucat dan sejuk membeku.
Seorang dari mereka lalu maju ke depan, dan matanya memandang tajam ke arahku; yang masih saja lalai dan berusaha menghidupkan kereta SUV kami semula. Aku sempat memandang ke arah beberapa orang lelaki berpakaian seragam yang lain, dan simbol M ditampal pada bahagian dada sebelah kiri pakaian masing-masing; aku masih ingat yang ada di antara mereka. Lelaki pertama yang sejak mula memandang tajam ke arahku lalu datang dengan mengenggam kemas sepucuk pistol di tapak tangan kanannya, dan dengan gerak pantas mengacukannya ke dahiku, dan BANG!
Ulasan