Bibliografi Budaya Brunei

Setakat ini bibliografi khusus mengenai budaya Brunei masih sukar untuk kita perolehi, dan buku Bibliografi Budaya Brunei ini adalah merupakan langkah awal bagi membuka jendela ke arah kegiatan penyelidikan budaya Brunei khususnya kepada para penyelidik dan pengkaji budaya di kalangan tujuh Puak Jati Brunei, iaitu Puak Melayu Brunei, Puak Belait, Puak Bisaya, Puak Dusun, Puak Kedayan, Puak Murut, dan Puak Tutong menurut Perlembagaan Negeri Brunei 1959.

Kajian budaya khususnya dalam bidang antropologi di negara ini turut memainkan peranan penting sebagai suatu cara yang amat praktikal untuk memahami dan mendalami pengetahuan kita mengenai sesuatu upacara dan sistem di dalam sesebuah masyarakat, sehingga dapat menghasilkan satu pertalian pemikiran yang sangat erat yang bukan sahaja menghasilkan sebuah bangsa yang bernegara maju malahan juga sebagai sebuah bangsa yang memiliki semangat spiritual yang dikagumi.

Oleh yang demikian Bibliografi Budaya Brunei ini adalah sebuah buku yang sangat menarik sekali untuk kita miliki yang mengandungi senarai rujukan yang terhasil daripada pelbagai tulisan dan kajian yang bermula dari bentuk buku, monograf, jurnal, majalah, kertas kerja, kajian ilmiah dan lain-lainnya yang pernah terbit sejak dari tahun 1880 sehingga 2014. Meskipun usaha penyusunan buku ini bukanlah merupakan sesuatu yang baharu namun kita mempunyai harapan ia akan dapat membantu dan memberi banyak manfaat kepada semua yang terlibat dan berminat mengenai budaya di negara ini.

Puasa Kamis dan Pazidah Haji Pudin (Peny.), 2015. Bibliografi Budaya Brunei. Bandar Seri Begawan: Jabatan Muzium-Muzium Brunei

Ulasan