Nama sebenar ialah Puasa bin Kamis, lahir pada 6 Jun
1970 di Kampong Bebuloh, Daerah Brunei-Muara, Negara Brunei Darussalam. Berpendidikan
Melayu dan Inggeris dalam Aliran Matrikulasi sehingga berpeluang meneruskan
pengajian di peringkat B. A. Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Rendah di
Universiti Brunei Darussalam pada tahun 1989 - 1992.
Bergiat
dalam bidang penulisan sejak tahun 1985 dengan menggunakan nama pena Puasha, P.
B. Kamis, Yasa Kamis, dan Awang Puasa dalam berbagai genre, terutama puisi,
cerpen, novel, artikel sastera dan budaya, rencana umum, dan skrip drama khas
televisyen. Kebanyakan karya penulis pernah terbit dalam Majalah Mekar, Juara, dan Bahana yang diterbitkan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka Brunei, akhbar rasmi kerajaan Pelita Brunei terbitan Jabatan Penerangan, akhbar harian Media Permata terbitan Brunei Press
Sendirian Berhad, dan lain-lain rancangan di Radio Televisyen Brunei.
Beberapa buah karya penulis termuat diantaranya dalam Antologi Cerpen Kanak-kanak Mekar
Sesekali Angin Bertiup, DBP:1997, Antologi Puisi Larian Hidup, DBP: 1999,
Antologi Puisi Kosovo Bilakah Langitmu Kembali Biru, DBP: 2000, Antologi Sajak
Cermin Diri (Teks Pelajar Kesusasteraan Melayu), Jabatan Perkembangan
Kurikulum: 2000, Antologi Haiku Kulimpapat DBP: 2001, Antologi Cerpen dan Puisi
Sungai Si Arau, DBP: 2003, Antologi Cerpen dan Puisi Mitos Pencarian, DBP:
2010, Antologi Cerpen Sempena Jubli Emas 50 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta Anugerah Terindah, DBP: 2017, dan Antologi Puisi Jubli Emas 50 Tahun Di Atas Takhta Dalam Cermin Sejarah, Pusat Sejarah Brunei: 2019.
Cerita-cerita pendek penulis dalam akhbar Pelita Brunei turut diterbitkan semula dalam
Koleksi Cerpen Pilihan Dalam Pelita Brunei Pewaris Kemenangan Bangsa, Jabatan
Penerangan: 2002, Koleksi Cerpen Pilihan Dalam Pelita Brunei Gadis Misteri,
Jabatan Penerangan: 2002, Koleksi Cerpen Pilihan Dalam Pelita Brunei Tua Dan
Aktif, Jabatan Penerangan: 2002, dan Koleksi Cerpen Pilihan Dalam Pelita Brunei Jerangkap, Jabatan Penerangan 2002.
Di samping itu penulis pernah diberi peluang menulis dalam kolum ulasan cerpen, dan menulis pelbagai artikel umum serta berita mengenai kegiatan bahasa dan sastera dalam akhbar harian Media Permata terbitan Brunei Press Sendirian Berhad pada sekitar tahun 2000 hingga 2007.
Beberapa naskah skrip drama TV penulis pernah dipilih bagi mengisi
rancangan-rancangan drama TV tempatan dan luar negara, di antaranya Amanat (judul lain Menyulam Kasih) telah dijadikan skrip Rancangan Drama Khas TV MoU terbitan RTB –
MediaCorp TV / Suria, Singapura: 2002, Sebening Kasihnya telah dijadikan skrip rancangan
Dokudrama Hari Raya Aidil Adha terbitan RTB: 2009, Menentang Arus telah
dijadikan skrip Rancangan Drama Khas TV sempena Israk Mikraj terbitan Biro
Mencegah Rasuah dan RTB: 2010, Kembali Ke Pangkal Jalan telah dijadikan skrip
Rancangan Drama Khas TV sempena Hari Antarabangsa Membenteras Penyalahgunaan
Dadah Haram terbitan RTB: 2011, dan Selamat Hari Jadi Mona telah dijadikan
skrip Rancangan Drama Khas TV sempena 30 Tahun Biro Mencegah Rasuah terbitan
Biro Mencegah Rasuah dan RTB: 2012 (lihat juga buku Kumpulan Drama TV Amanat, DBP: 2014).
Setakat ini penulis telah
menghasilkan novel Sebuah Pondok Di Bukit Kota, DBP: 2004, Kumpulan Puisi
Nakhoda Manis Pelayaran Kedua, DBP: 2009, Kumpulan Cerpen Cetera Merdeka, DBP:
2010, Kumpulan Puisi Sandiwara, DBP: 2014, Kumpulan Drama TV Amanat, DBP: 2014, dan disusul dengan sebuah eBook-pdf. Kumpulan Puisi dan Cerpen Kanak-Kanak Menjelang Remaja Kisah di Sebuah Halaman, Krafiti Enterprise: 2015, adalah merupakan buku-buku persendiriannya. Disamping menulis melalui blog ini, penulis juga giat dengan blog fotografinya https://litfoto.blogspot.com serta https://puasakamis.academia.edu/ yang dikemaskini secara berkala.
Antara kejayaan yang pernah dicapai oleh penulis ialah memenangi Hadiah Kreatif Bahana, Shell-DBP dalam kategori Puisi yang berjudul Nostalgia pada tahun 1995, kategori Cerpen yang berjudul Kebun pada tahun 1999 serta dalam kategori Haiku pada tahun 2002. Turut menerima Penghargaan Aktivitis Bahana 97-99, dan juga penerima Hadiah Penghargaan Sasterawan Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) setelah dipilih sebagai Sasterawan Kreatif Terbaik Negara Brunei Darussalam pada 27 September 2010 di Jakarta, Indonesia, serta sebagai Aktivis Sastera Tanah Air di Malam Apresiasi Penulis "Bahasa Jiwa Bangsa" sempena Bulan Bahasa pada tahun 2015.
Ulasan