Bagaimanakah manusia kota telah dipaparkan atau dibicarakan dalam karya sastera?


Manusia kota dalam karya sastera, khususnya di Negara Brunei Darussalam sudah bermula dengan cerpen-cerpen yang dihasilkan dalam tahun-tahun 1971 – 1972 melalui MuslimBurmat dengan Antologi Cerpen Pelarian (DBP, Brunei; 1977).

Antologi Cerpen Pelarian adalah suatu rakaman penulis dari satu sudut kebudayaan asing yang sophisticated dan mencabar. Beliau telah memulakan tulisannya dengan tempat dan suasana kota yang pernah dialaminya, dan dengan manusia tertentu yang mungkin dapat dikenalinya secara dekat.

Antologi Cerpen Pelarian mengandungi enam buah cerpen, dan salah sebuah daripadanya ialah cerpen yang berjudul Pohon-Pohon Di Alps. Melalui cerpen ini Muslim Burmat menggambarkan manusia kota itu seperti berikut;

“Muzik berhenti dan orang duduk semula. Sebentar kemudian muzik timbul lagi dan lampu menyala dan di tengah pentas, para penari second generation mula beraksi. Mereka menari, menyanyi dan melompat. Kepada mereka yang tidak gemar dengan tarian itu akan mengaggap tarian tersebut kekeringan seni dan tak laku, tetapi kepada anak-anak muda dan penggemar-penggemarnya mentafsirkan yang tarian itu suatu penganalisaan terhadap cantuman kebudayaan, sex dan masa, di mana ketiga-tiganya harus dilengkapkan kepada generasi sekarang dan akan datang”. Muslim Burmat (DBP, Brunei 1977: 69)

Manakala Nurfik Brunei melalui koleksi puisinya Heyyyyyyy (DBP, Brunei: 2008) turut merupakan satu koleksi segar yang menandakan tahap kecapaian kesusasteraan Brunei, khususnya dalam bidang sajak. Perhatikan sajak mini yang berjudul Pertempuran Kota seperti berikut;

“Seekor gajah berdiri gagah
Menghunus senjata
Di tengah kota

Tetiba…,
Rebah digigit semut api.”

Menurut Z. A. Brunei melalui Susur Kata koleksi puisi tersebut - sajak ini juga menggambarkan bahawa jika gajah dilambangkan sebagai manusia yang berdiri dan menghunus senjata di tengah kota, sudah pasti peristiwa tersebut membawa naratif yang boleh memberikan kesan huru-hara pada sesebuah komuniti yang dirujukkan sebagai kota. Nurfik Brunei (DBP, Brunei 2008: xiii)

Melalui novel Puncak Pertama (DBP, Brunei: 1988), Muslim Burmat juga telah memperlihatkan jaringan-jaringan kehidupan yang berbagai – antara realiti dan khayalan yang diadun dalam rangkaian sejarah kebangkitan semangat nasionalisme, cita-cita bangsa dan harapan rakyat.

Perpindahan keluarga Ahmad dari Bandar Brunei ke “Puteri Brunei” membawa erti yang besar kepada perkembangan ahli keluarga berikutnya. Pekan Seria yang menjadi tumpuan segala bangsa di awal tahun 1950-an menjanjikan segala-segalanya – kehidupan yang baik, tetapi suasana itulah juga yang membentuk fikiran dan pendirian kaum pendatang dan peribuminya. Diikuti pula dengan munculnya isu-isu yang merubah dan mencabar fikiran rakyat sehingga menjadikan bentuk kehidupan dan suasana manusia kota kita berubah sama sekali.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Peraduan Menulis Karangan, Cerpen dan Rencana 2011 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei.

Majalah Mekar dan Perkembangan Sastera Kanak-Kanak di Negara Brunei Darussalam

na-tion-al-is-m